GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nur Izzati Mohamad


Kepala Batas: Seorang pesara yang takut dimasukkan ke penjara kononnya terbabit dengan kes pengubahan wang haram 'berputih mata' selepas wang simpanan berjumlah RM124,000 hangus ditipu Macau Scam.

Insiden bermula pada bulan lalu apabila lelaki berusia 71 tahun itu menerima panggilan daripada seorang lelaki yang mendakwa dari syarikat telekomunikasi dan memberitahu mangsa mempunyai tunggakan bil telefon.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa menafikan mempunyai tunggakan bil telefon sebelum panggilannya disambungkan kepada individu yang mengaku anggota polis bernama Sarjan Juhairi dan Inspektor Herman dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, Pahang.

"Dua lelaki yang kononnya anggota polis itu memberitahu mangsa adalah orang dikehendaki kerana terbabit dengan kes pengubahan wang haram sebelum diminta memberikan maklumat akaun bank untuk audit dan siasatan.

"Selepas itu, mangsa diarahkan membuat pembayaran sebanyak RM101,000 ke dalam empat akaun bank yang diberikan dua lelaki terbabit secara berperingkat yang didakwa sebagai kos peguam," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, akibat ketakutan mangsa menuruti segala arahan suspek hingga tidak sedar sudah terjerat dengan sindiket penipuan.

"Apatah lagi, mangsa menyedari bahawa wang di dalam akaunnya berkurangan sebanyak RM23,000 dipercayai dikeluarkan suspek yang menjadikan jumlah keseluruhan kerugian dialaminya sebanyak RM124,000.

"Mangsa akhirnya sedar ditipu selepas suspek berterusan meminta mangsa membuat bayaran tambahan lalu membuat laporan polis semalam," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Disember 2020 @ 4:32 PM