LATIF (tengah) bersama ahli keluarganya yang hadir memberi sokongan pada acara lompat jauh T20 lelaki akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini. - Foto OSMAN ADNAN
LATIF (tengah) bersama ahli keluarganya yang hadir memberi sokongan pada acara lompat jauh T20 lelaki akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini. - Foto OSMAN ADNAN
Ferzalfie Fauzi & Mohd Khairie Khalid

& [email protected]

SOKONGAN diraja berjaya membantu Abdul Latif Romly mempertahankan emas dalam acara lompat jauh lelaki T20 (masalah pembejalaran) selepas melakukan lompatan 7.41 meter yang turut disaksikan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Latif yang juga pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Rio 2016 dan Kejohanan Dunia IPC London tahun ini, ternyata tiada tandingan selepas mengetepikan wakil Singapura, Suhairi Suhani 6.85m, manakala gangsa milik seorang lagi atlet negara, Zulkifly Abdullah (6.51m).

"Sebenarnya saya bersyukur dapat mempertahan emas dan ini yang ketiga di Para ASEAN, selepas Myanmar dan Singapura. Pertama kali saya rasa gembira kerana Raja Muda Perlis pun turun datang memberi sokongan bersama Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar," katanya selepas upacara penyerahan pingat di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Jelasnya, dia berasa tidak tertekan dengan kehadiran kedua-dua orang kenamaan berkenaan sebaliknya rasa bersemangat untuk beraksi walaupun terkandas untuk memecahkan rekod sendiri 7.43 yang dilakukan di Singapura dua tahun lalu.

"Memang saya berasa yakin sebelum turun kerana mahu memperbaiki catatan peribadi terbaik. Selepas ini saya akan cuti selama dua minggu sebelum menyambung semula latihan untuk persiapan Para Asia bulan depan. Kecewa tidak dapat memecahkan rekod temasya memang ada disebabkan saya berasa letih," katanya.

Latif terpaksa menunggu pada hari terakhir acara olahraga semalam, sebelum turun beraksi dan dia mengakui sentiasa tidak sabar untuk ke trek.

"Terima kasih kepada keluarga dan penyokong yang datang memberi sokongan. Keluarga saya tiba dari Perlis sejak kelmarin" katanya yang berasal dari Bukit Keteri, Perlis.

Ditanya mengenai Para Asia di Jakarta-Palembang tahun depan, atlet berusia 20 tahun itu berkata, dia mahu mempertahankan emas yang dimenangi di Incheon pada 2014.

Dalam masa yang sama dia juga gembira kerana tahun ini bukan saja beraksi di Para ASEAN, tapi Sukan SEA dan mengakui kedua-duanya mempunyai tahap yang sangat berbeza.

"Sukan SEA sangat mencabar kerana lawan begitu kuat. Ia membuatkan saya rasa tercabar untuk memberi tentangan kepada mereka. Di sini (Para ASEAN) kebanyakkan atlet baru hendak membina karier, tapi tujuan utama saya adalah untuk memperbaiki catatan tidak kira atlet lain kuat atau tidak," katanya yang mengakui berasa sakit di bahagian buku lali iaitu kecederaan lama yang dialami enam bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 September 2017 @ 5:45 PM