Atlet paralimpik Abdul Latif (bekerusi roda) dan Liek Hou (dua kanan) bersama jurulatih mereka selamat tiba di KLIA. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Atlet paralimpik Abdul Latif (bekerusi roda) dan Liek Hou (dua kanan) bersama jurulatih mereka selamat tiba di KLIA. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Pemenang pingat emas Sukan Paralimpik 2020 Tokyo, Abdul Latif Romly tidak bercadang untuk terus pulang ke kampung halamannya di Perlis selepas tamat menjalani kuarantin.

Menurut atlet berusia 24 tahun itu, yang mempertahankan emas dalam acara lompat jauh T20 (masalah pembelajaran), dia sebaliknya mahu menjalani sesi pemulihan kecederaan terlebih dahulu, sebelum dijangka menemui ibu bapanya pada Oktober depan.

"Tengok dulu, saya akan menjalani kuarantin (selepas tiba di tanah air hari ini). Kemudian saya akan ikut sesi pemulihan.

"Mungkin saya akan mengambil masa seminggu atau dua minggu begitu. Mungkin dalam bulan Oktober macam itu baru saya akan balik," katanya kepada media sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Abdul Latif melakar sejarah tersendiri apabila muncul atlet para kebangsaan pertama berjaya mempertahankan pingat emas dalam sejarah penyertaan Malaysia di Sukan Paralimpik sejak 1972.

Mengulas berhubung bapanya, Romly Mat, 70, yang menunaikan nazar membotakkan kepalanya selepas anak bongsunya itu berjaya merangkul emas di temasya berkenaan, Abdul Latif berkata, ayahnya memang gemar bernazar seperti itu.

Sementara itu, dia turut memaklumkan bahawa kecederaan yang dialaminya ketika melakukan lompatan kelima pada temasya berkenaan tidak begitu serius.

"Sekarang keadaan saya dah okey. Cuma ada koyak sedikit dalam 2.5 sentimeter. Koyakannya macam 'stage 2' sahaja, tidak serius sangat," katanya.

Abdul Latif muncul wira kontinjen Malaysia apabila menjadi penyumbang pingat emas ketiga sekali gus menepati sasaran ditetapkan di Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Tampil sebagai juara bertahan, dia berjaya mengekalkan emas yang dimenanginya lima tahun di Paralimpik Rio 2016 apabila melakukan lompatan sejauh 7.45 meter (m) pada percubaan kedua dalam aksi final yang berlangsung di Stadium Olimpik Tokyo.

Pingat perak acara itu dimenangi atlet Greece, Athanasios Prodromou dengan catatan 7.17m manakala Nicholas Hum meraih gangsa dengan 7.12m.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 September 2021 @ 8:08 PM