ROSOL (kiri) dan Aziz (kanan) menjamu selera selepas majlis kesyukuran di perkarangan kediamannya di Ajil, Kuala Berang, semalam. FOTO Baharom Bakar
ROSOL (kiri) dan Aziz (kanan) menjamu selera selepas majlis kesyukuran di perkarangan kediamannya di Ajil, Kuala Berang, semalam. FOTO Baharom Bakar
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Berang: Pandemik Covid-19 yang membataskan pergerakan dan menjejaskan ekonomi membuatkan generasi kedua Felda Bukit Bading, Ajil, di sini, membangunkan kolam terbiar untuk dijadikan projek ternakan ikan air tawar.

Sebelum ini, kolam yang terbiar sejak 20 tahun itu diusahakan generasi pertama felda berkenaan, tetapi terbiar sehingga ia menjadi tumpuan penagih dadah.

Ketua projek berkenaan, Azhar Ismail berkata, idea mengusahakan kolam terbiar itu timbul susulan pandemik Covid-19 yang mengehadkan pergerakan mereka kerana banyak masa berada di rumah.

"Kawasan itu memang sudah lama terbiar sehingga menjadi kawasan penagih dadah berikutan lokasinya agak terpencil, jadi saya bersama 14 rakan peneroka nekad membangunkan kawasan ini bagi menambah pendapatan selain mengisi masa lapang.

"Kami bermula pada awal tahun ini dengan membersihkan kawasan semak, membuat pam air untuk kegunaan kolam dan beberapa kemudahan lain.

"Jika diikutkan, kami tiada pengalaman dalam bidang ternakan dan kami bersyukur ia turut mendapat perhatian Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ajil Maliaman Kassim yang membantu daripada sudut kewangan serta bimbingan dan nasihat daripada Jabatan Perikanan.

"Setakat ini, kita ada sembilan sangkar ikan dan merancang menambah lagi 20 sangkar secara berperingkat dalam masa terdekat," katanya ketika melawat Projek Kelompok Ternakan Ikan Kumpulan Generasi Kedua Felda Bukit Bading, Ajil, di sini, semalam.

Pada program itu, Rosol turut melepaskan sebanyak 6,000 benih tilapia dan 3,000 benih patin di kolam berkenaan.

Sementara itu, Rosol berkata, projek yang dilakukan generasi kedua felda berkenaan sewajarnya dipuji dan menjadi contoh kepada generasi felda yang lain.

"Bagi projek ini, kita memperuntukkan RM15,000 untuk digunakan bagi mencuci kolam, benih dan kemudahan jalan bagi memudahkan mereka untuk akses ke kawasan berkenaan.

"Setakat ini, kita ada terima pemohonan daripada Felda Tersat yang mahu membangunkan kolam terbiar untuk dijadikan sebagai kolam memancing.

"Kita menyambut baik dan sentiasa menyokong apa sahaja projek yang boleh membantu ekonomi penduduk di kawasan Parlimen Hulu Terengganu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 September 2021 @ 3:46 PM