Zaid Salim


Kuala Berang: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bercadang memberi pinjaman mudah atau soft loan kepada penternak ayam, sebagai antara langkah menangani isu kenaikan harga ayam di pasaran.

Timbalan Menterinya Datuk Rosol Wahid berkata, cadangan memberi pinjaman mudah kepada penternak itu sudah dibawa kepada Kementerian Kewangan (MoF) untuk dipertimbangkan.

"Jadi, pinjaman mudah ini dilihat dapat membantu mereka (penternak) menstabilkan pengeluaran ayam dan kos operasi, sekali gus menstabilkan harga ayam di pasaran.

"MOF juga dilihat menyambut baik cadangan pemberian pinjaman mudah kepada penternak ini," katanya pada majlis perasmian Program Jualan Koperasi Prihatin Rakyat (JKPR) Felda Bukit Bading, Ajil, di sini, hari ini.

ROSOL melihat barangan yang dijual di kedai koperasi pada (JKPR), Felda Bukit Bading di Bangunan Koperasi Felda Bukit Bading, Ajil, Kuala Berang. FOTO Zaid Salim
ROSOL melihat barangan yang dijual di kedai koperasi pada (JKPR), Felda Bukit Bading di Bangunan Koperasi Felda Bukit Bading, Ajil, Kuala Berang. FOTO Zaid Salim

Menurutnya, sebelum ini kerajaan bercadang untuk memberi subsidi kepada penternak bagi mengatasi isu kenaikan harga ayam yang dikatakan berpunca daripada kenaikan harga makanan.

Katanya, penternak cenderung dengan cadangan agar kerajaan memberikan pinjaman mudah dalam tempoh antara dua hingga tiga tahun selepas beberapa sesi libat urus yang dijalankan.

"Ini kerana isu yang dihadapi penternak ayam sehingga berlaku kenaikan harga sumber protein itu bukan hanya masalah kenaikan harga dedak ayam, tetapi juga kos operasi.

"Ketika ini fokus kementerian adalah meneliti semua cadangan untuk mengatasi isu kenaikan harga ayam untuk jangka panjang kerana tidak mahu isu berkenaan berulang di masa depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Oktober 2021 @ 6:11 PM