KEADAAN kereta dinaiki tiga rakan remuk selepas terbabas sebelum merempuh sebatang pokok. FOTO ihsan POLIS
KEADAAN kereta dinaiki tiga rakan remuk selepas terbabas sebelum merempuh sebatang pokok. FOTO ihsan POLIS
Zaid Salim


Kuala Berang: Seorang maut manakala dua lagi parah apabila kereta dinaiki mereka terbabas sebelum merempuh pokok di Kampung Kolam, di sini, hari ini.

Dalam kemalangan 5 pagi itu, mangsa maut adalah Muhammad Aziq Adam Abdul Raqib, 20, beralamat di Taman Gong Badak Empat, Kuala Nerus.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, dua lagi mangsa parah adalah Muhammad Shafiq Md Shadip, 20, dan Muhammad Amir Naim Anuar, 20, kedua-duanya berasal dari Felda Bukit Bading, di sini.

"Kemalangan berlaku apabila kereta Proton Saga FL dinaiki mereka dikatakan terbabas sebelum merempuh sebarang pokok di lokasi kejadian.

"Sebelum kejadian, tiga rakan terbabit dikatakan dalam perjalanan pulang ke Felda Bukit Bading selepas selesai makan di sebuah kedai di Kampung Binjai Rendah, Marang, pada 3 pagi.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta dipandu Muhammad Shafiq dikatakan hilang kawalan dan berpusing ke bahu kiri jalan menghala ke Ajil, Kuala Berang sebelum merempuh pokok dan ketiga-tiga mangsa tersepit," katanya.

Beliau berkata, semua mangsa dikeluarkan anggota bomba sebelum dibawa ke Hospital Hulu Terengganu (HHT).

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Disember 2021 @ 7:06 PM