Foto hiasan
Foto hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Bekalan air di 463 kawasan terjejas berikutan Loji Rawatan Air Sungai Semenyih dihenti tugas akibat insiden pencemaran bau di Sungai Semenyih sudah mencapai tahap 92.2 peratus pulih setakat 7 pagi hari ini.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri berkata, daripada lima wilayah Air Selangor yang terjejas, Kuala Langat, Sepang dan Putrajaya sudah mencapai pemulihan bekalan air 100 peratus manakala Hulu Langat 92.6 peratus dan Petaling 81.4 peratus.

"Tempoh masa pemulihan bekalan air adalah berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna.

"Bekalan air di kesemua kawasan yang terjejas akan diterima secara berperingkat-peringkat dan dijangka pulih sepenuhnya pada 6 pagi esok.

"Bantuan bekalan air alternatif melalui lori tangki air akan terus digerakkan kepada para pengguna dan premis-premis kritikal di kawasan-kawasan yang terjejas sepanjang gangguan bekalan air tidak berjadual ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Air Selangor memohon kerjasama orang ramai untuk mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka semasa mendapatkan bekalan air daripada lori-lori tangki.

Elina berkata, Air Selangor berharap para pengguna yang sudah mendapat bekalan air akan menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar seperti dijadualkan.

"Air Selangor ingin menyarankan para pengguna yang sudah mendapat bekalan air untuk membiarkan pili air mengalir sehingga jernih sebelum digunakan untuk kegunaan harian.

"Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan dengan insiden ini dari semasa ke semasa menerusi semua medium khususnya media massa," katanya.

Para pengguna boleh merujuk semua saluran komunikasi rasmi Air Selangor seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.

Pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan di Help Centre di laman sesawang www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 September 2021 @ 10:00 AM