GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Bekalan air di wilayah Kuala Lumpur, Petaling dan Hulu Langat yang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual bermula semalam akibat kejadian paip pecah di Jalan Sering, Taman Sungai Sering di Cheras, telah pulih pada tahap 57 peratus sehingga 7 pagi tadi.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri berkata peratusan pemulihan bekalan air di Hulu Langat adalah pada tahap 90 peratus, Petaling (70 peratus) dan Kuala Lumpur (10 peratus).

"Kerja-kerja pembaikan pecah telah siap dilaksanakan pada 11 malam semalam dan bekalan air telah mula disalurkan kepada pengguna bermula jam 2 pagi tadi serta dijangka pulih sepenuhnya pada 6 petang ini.

"Pemulihan bekalan air di semua kawasan yang terjejas adalah secara berperingkat bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna. Bantuan bekalan air melalui lori-lori tangki sedang giat digerakkan kepada pengguna yang terjejas," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Air Selangor kini sedang berusaha untuk menstabilkan sistem agihan bagi memastikan pengguna mendapat bekalan air dengan segera terutama dalam situasi pandemik Covid-19.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut berhubung status terkini bekalan air, boleh melayari laman sesawang Air Selangor di www.airselangor.com serta merujuk saluran komunikasi rasmi seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau menghubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 January 2021 @ 11:33 AM