PENIAGA pasar awam menjalani ujian calitan Covid-19 di Dewan Pasar Awam Padang Tembak, Taman Ayer Itam di Georgetown. FOTO Mikail Ong.
PENIAGA pasar awam menjalani ujian calitan Covid-19 di Dewan Pasar Awam Padang Tembak, Taman Ayer Itam di Georgetown. FOTO Mikail Ong.
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Sebanyak 1,369 kes positif Covid-19, kini sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU), dan 764 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 362 kematian dilaporkan hari ini membabitkan 304 warganegara dan 58 bukan warganegara.

"Sebanyak 104 adalah kes kematian di rumah (BID) menjadikan jumlah keseluruhan kematian kepada 17,883 kes.

"Selain itu, 21,582 kes dilaporkan pulih hari ini menjadikan jumlah kes pulih adalah 1,550,254," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, jumlah kes baharu Covid-19 terus mencatatkan penurunan dengan 19,057 kes hari ini, berbanding 19,378 semalam.

Katanya, ia menjadikan jumlah keseluruhan positif kepada 1,824,439 kes.

"Daripada 19,057 kes harian yang dilaporkan, 405 kes (2.1 peratus) adalah daripada kategori tiga, empat dan lima manakala 18,652 kes (97.9 peratus) terdiri daripada kategori satu dan dua.

"Secara keseluruhan, 8,544 kes (44.8 peratus) daripada jumlah kes yang dilaporkan tiada sejarah vaksinasi, 4,393 kes (23.1 peratus) sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin atau menerima dua dos vaksin tetapi tidak melebihi 14 hari manakala 6,120 kes (32.1 peratus) mempunyai sejarah vaksinasi lengkap," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, Selangor kekal merekodkan kes tertinggi iaitu 3,775 kes, diikuti Sarawak (2,723 kes), Sabah (2,279 kes), Johor (2,077 kes), Pulau Pinang (1,558 kes), Perak (1,450 kes), Kelantan (1,434 kes), Kedah (1,329 kes) dan Kuala Lumpur (711 kes).

Katanya, Terengganu mencatatkan 605 kes, Pahang (410 kes), Melaka (338 kes), Negeri Sembilan (242 kes), Perlis (99 kes), Putrajaya (18 kes) dan sembilan kes di Labuan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 September 2021 @ 7:31 PM