GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Sebanyak 17,000 pesakit Covid-19 dilaporkan sembuh hari ini, sekali gus melebihi jumlah kes baharu yang dilaporkan iaitu 12,434 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia menjadikan jumlah kes sembuh ialah 2,037,099 atau 91.2 peratus.

Bagaimanapun, jumlah kes baharu hari ini meningkat berbanding 11,332 yang dilaporkan semalam, menjadikan jumlah kumulatif kes yang dilaporkan di negara ini berjumlah 2,232,960 kes.

Dr Noor Hisham berkata, daripada kes yang dilaporkan, 207 kes (1.7 peratus) adalah kategori 3, 4, dan 5 manakala 12,227 kes (98.3 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.

"Sarawak kekal menjadi negeri yang mencatatkan kes tertinggi dengan 2,967 kes diikuti Selangor (1,362 kes), Johor (1,289 kes), Kelantan (1,125 kes) dan Sabah merekodkan 1,000 kes.

"Pulau Pinang mencatatkan 863 kes manakala Perak (971 kes), Pahang (663 kes), Kedah (652 kes) dan Terengganu merekodkan 612 kes.

"Selain itu Melaka merekodkan 375 kes baharu, Kuala Lumpur (284 kes), Perlis (79 kes), Putrajaya (18 kes) dan Labuan mencatatkan lima kes," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 979 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) yang mana 871 kes adalah kes Covid-19 dan 108 adalah kes dalam siasatan.

"Daripada jumlah itu juga sebanyak 565 kes dilaporkan memerlukan bantuan pernafasan di mana 378 kes ada Covid-19 dan 187 adalah kes disyaki dan dalam siasatan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 September 2021 @ 7:19 PM