Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan berbincang isu ajaran sesat 'Perjalanan Mimpi Yang Terakhir' (PMYT) dengan Muzakarah Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, soal agama membabitkan enakmen di negeri-negeri dan perkara berkenaan perlu diperhalusi dengan lebih lanjut.

Katanya, berhubung ajaran sesat PMYT, pihak Jabatan Kemajuan Agama Islam (JAKIM) sudah sedia maklum tentang perkara itu dan sudah diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman untuk membuat siasatan.

"Siasatan sudah dijalankan dan buat masa ini jumlah pengikut ajaran ini belum diterima secara tepat daripada pihak Bukit Aman.

"Susulan daripada penyiasatan itu nanti, kami akan melihat apa ruang yang boleh dibantu bagi menyelesaikannya kerana ia membabitkan dua isu utama iaitu terbabit dengan ajaran sesat dan juga keselamatan negara.

"Sekarang ini, soal keselamatan yang perlu diberi keutamaan dan kepada mereka yang terbabit serta pengikutnya akan dikenakan tindakan bersesuaian mengikut bidang kuasa di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)," katanya ketika sidang media seleps Majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang dan IPTA Parlimen Pengkalan Chepa secara pandu lalu di Pusat Khidmat Ahli Dewan Rakyat (ADR) di Kampung Landak, Pengkalan Chepa, di sini, hari ini.

AHMAD Marzuk (kanan) menyampaikan sijil perhargaan dan wang tunai kepada pelajar cemerlang sempena majlis penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang dan IPTA secara pandu lalu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
AHMAD Marzuk (kanan) menyampaikan sijil perhargaan dan wang tunai kepada pelajar cemerlang sempena majlis penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang dan IPTA secara pandu lalu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Mengulas lanjut, Ahmad Marzuk berkata, bagi tindakan lanjut, pihaknya akan memanggil dan mengadakan pertemuan dengan pihak yang terbabit dan melalui temu bual itu kita akan mengetahui sama ada mereka menyeleweng atau tidak.

"Bagi tindakan selebihnya, kita serah kepada pihak berkuasa agama negeri memandangkan ia adalah bidang kuasa negeri.

"Denda dan hukuman adalah tidak sama untuk setiap negeri. Walau apa pun, kita tetap memandang serius perkara ini," katanya.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin dalam kenyataannya memaklumkan akan mengarahkan PDRM untuk mengambil tindakan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) kepada mana-mana individu yang cuba menimbulkan kegusaran, menakut-nakutkan dan mengganggu ketenteraman awam termasuk kepada kumpulan PMYT.

Bermula 29 Ogos lalu, Harian Metro melaporkan, wanita berusia 39 tahun yang menggunakan gelaran Sittah Annur didakwa mula mengembangkan ajaran PMYT yang dipercayai bertentangan dengan ajaran Islam sebenar.

Wanita berasal dari Kelantan dan menetap di Shah Alam itu dikesan sejak enam bulan lalu menggunakan media sosial seperti Facebook (FB), YouTube dan Telegram untuk berkongsi pelbagai ramalan termasuk Perang Dunia Ketiga kononnya berlaku di Sabah sebelum dia memimpin pasukannya untuk mencari Imam Mahdi bagi melawan musuh.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 September 2021 @ 1:57 PM