GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Helah sindiket penipuan menawarkan lesen memandu tanpa perlu mengikuti kelas dan ujian pada harga hanya RM490 terbongkar selepas polis menahan dua lelaki tempatan termasuk seorang remaja, kelmarin.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur Superintendan Mohamad Musa Marsidi berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan penipuan mendapatkan lesen memandu itu daripada mangsa berusia 40 tahun.

Beliau berkata, mangsa mendakwa terpedaya selepas melihat iklan di Facebook yang menawarkan perkhidmatan mendapatkan lesen memandu tanpa melalui proses Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jumaat lalu.

"Dia menghubungi nombor tertera melalui aplikasi WhatsApp dan dijanjikan akan mendapat lesen memandu pada harga RM490.

"Selepas membuat pembayaran, suspek masih meminta bayaran tambahan dengan pelbagai alasan menyebabkan mangsa curiga dan membuat laporan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Musa berkata, bertindak atas maklumat itu, pihaknya menyerbu sebuah rumah di Durian Tunggal, Melaka pada 10.05 malam, kelmarin, yang membawa kepada penahanan dua lelaki masing-masing berusia 17 dan 22 tahun.

Katanya, semakan mendapati remaja berusia 17 tahun yang ditahan masih bersekolah dan akan mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

"Dalam serbuan itu, kami merampas beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk memproses lesen palsu berkenaan.

"Siasatan awal dilakukan mendapati sindiket berkenaan dipercayai aktif melakukan kegiatan itu sejak 2016," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua suspek berkenaan direman selama tiga hari bermula semalam hingga Rabu ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai dinasihatkan supaya mendapatkan lesen melalui cara yang betul dan sah.

"Sekiranya mempunyai maklumat mengenai sebarang aktiviti mencurigakan, hubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21460584/0585, CCID Scam Response Center di talian 03-26101559/1599 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 April 2022 @ 4:13 PM