Tujuh lelaki warga asing berusia 26 hingga 35 tahun ditahan polis dalam serbuan di sebuah premis di Mont Kiara, Kuala Lumpur, selepas disyaki terbabit aktiviti penipuan pelaburan saham.
Tujuh lelaki warga asing berusia 26 hingga 35 tahun ditahan polis dalam serbuan di sebuah premis di Mont Kiara, Kuala Lumpur, selepas disyaki terbabit aktiviti penipuan pelaburan saham.
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Polis membongkar kegiatan sindiket penipuan pelaburan saham yang dikesan menjerat warga Korea dengan menawarkan keuntungan berlipat kali ganda daripada jumlah pelaburan.

Sindiket beroperasi di sebuah premis di Mont Kiara di sini, itu diserbu oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Mohd Mahidisham Ishak berkata, serbuan pada 2.30 petang dilakukan hasil maklumat dan risikan yang dijalankan.

"Tujuh lelaki warga asing berusia 26 hingga 35 tahun ditahan selepas disyaki terbabit dalam aktiviti penipuan pelaburan berkaitan saham dari bursa saham negara luar.

"Polis kemudiannya merampas 21 unit peralatan komputer, 14 telefon bimbit, dua set modem dan satu router yang digunakan bagi menjalankan aktiviti itu," katanya dalam kenyataannya hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati sindiket itu mula beroperasi sejak Mac lalu dan menyasarkan mangsa dari Korea.

Katanya, kesemua suspek kini direman tiga hari sehingga Rabu ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang kegiatan atau aktiviti mencurigakan menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21460584/85 atau mana-mana balai polis berdekatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 September 2021 @ 4:33 PM