GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Petaling Jaya: Polis menahan warga emas kerana disyaki mencabul kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun di rumahnya di Taman Medan, di sini Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, suspek yang berusia 70 tahun adalah suami kepada pengasuh kanak-kanak terbabit dan dipercayai melakukan perbuatan berkenaan tiga kali sejak Oktober 2020.

Katanya, bapa mangsa membuat laporan polis selepas mengetahui kejadian daripada anak lelakinya yang berusia lapan tahun dan susulan itu menahan suspek di rumahnya pada 11.30 malam kelmarin.

"Soal siasat awal suspek mengaku melakukan perbuatan itu atas keinginannya sendiri semasa berada di rumahnya," katanya ketika dihubungi, semalam.

Fakhrudin berkata, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk meneliti laporan perubatan mangsa yang dikeluarkan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

"Pemeriksaan awal doktor mendapati ada elemen berlakunya cabul terhadap mangsa. Kes disiasat Seksyen 15 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017," katanya.

Beliau meminta orang ramai lebih berwaspada dan peka dengan situasi di pusat jagaan dan asuhan ketika menghantar anak mereka bagi mengelak kejadian seumpama berulang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Oktober 2021 @ 5:12 PM