Kanak-kanak lelaki warga asing berusia empat tahun maut dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Nissan Xtrail ketika melintas jalan di Sungai Way, Petaling Jaya. FOTO ihsan polis
Kanak-kanak lelaki warga asing berusia empat tahun maut dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Nissan Xtrail ketika melintas jalan di Sungai Way, Petaling Jaya. FOTO ihsan polis
Raja Noraina Raja Rahim


Petaling Jaya: Kanak-kanak lelaki berusia empat tahun maut dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Nissan X-Trail ketika melintas jalan di Jalan SS 9A/8, Sungai Way di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, polis menerima laporan kejadian pada 7.27 malam.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 5.30 petang.

"Ketika pemandu kenderaan berkenaan melalui lokasi kejadian, mangsa dikatakan secara tiba-tiba melintas jalan menyebabkan pemandu tidak sempat brek dan terlanggar mangsa.

"Mangsa yang mengalami kecederaan dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM) untuk rawatan dan disahkan meninggal dunia," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata, pemandu terbabit ditahan untuk siasatan lanjut sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau turut meminta orang ramai yang melihat kejadian supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, Inspektor R Navalan di talian 014-2536820 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Julai 2023 @ 10:21 AM