Tan Sri Noh Omar.
Tan Sri Noh Omar.
Amirul Aiman Hamsuddin


Tanjong Karang: Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar hari ini menyifatkan pelantikannya sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi ibarat sirih pulang ke gagang.

Menerusi hantaran di Facebook miliknya, Noh berkata, beliau sebelum ini pernah menjawat jawatan sama semasa pentadbiran bekas Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Katanya, ia merupakan amanah yang wajib ditunaikan terutamanya di saat ramai usahawan terkesan dengan kejatuhan ekonomi akibat Covid-19.

"Perlantikan ini adalah kesinambungan kepada tugas saya selaku Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dalam membantu usahawan bumiputera.

"Insya-Allah, amanah ini akan saya tunaikan selaras dengan kehendak Perdana Menteri supaya menfokuskan kepada agenda membantu rakyat," katanya.

Sehubungan itu, beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di atas kepercayaan diberikan serta semua pihak yang menyokongnya.

Noh pernah menerajui kementerian itu selama lebih setahun iaitu 18 Mac 2008 hingga 9 April 2009.

Selain itu, beliau juga pernah dilantik sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri (2004-2006), Timbalan Menteri Pendidikan I (2006-2008), Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (2009-2013) dan terakhir Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (2016-2018).

Beliau dilantik sebagai Pengerusi PUNB pada 23 Jun tahun lalu di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Ogos 2021 @ 3:08 PM