Amirul Aiman Hamsuddin
am@hmetro.com.my


Kuala Selangor: Tiang utama, lantai dan dinding bahagian depan rumah reput dimakan anai-anai manakala bumbung bocor sehingga terpaksa guna baldi untuk tadah air hujan.

Namun itulah 'istana' buat seorang wanita warga emas di Jalan Pantai Rasa Sayang, Sungai Burong di sini.

Bagi Noryah Mohamed, 69, dia yang tinggal bersendirian terpaksa berteduh di dapur berikutan bahagian hadapan rumah pusaka peninggalan arwah bapanya tidak selamat diduduki.

Menurutnya, setiap hari, dia runsing memikirkan nasib yang bakal menimpa sekiranya rumah berkenaan roboh.

"Bumbung rumah ini sudah bocor. Setiap kali hujan, saya guna baldi untuk menadah air hujan.

"Disebabkan kekangan kewangan dan tiada sumber pendapatan tetap, saya tidak mampu untuk membaik pulih rumah ini.

"Hari ini, saya bersyukur menerima bantuan bagi membina rumah baharu dengan kos perbelanjaannya diberikan hasil bantuan zakat Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB)," katanya.

TAN Sri Noh Omar (dua dari kiri) menyerahkan surat kelulusan pembinaan rumah baharu kepada Noryah Mohamed (tengah) di Jalan Pantai Rasa Sayang, Sungai Burong, hari ini. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
TAN Sri Noh Omar (dua dari kiri) menyerahkan surat kelulusan pembinaan rumah baharu kepada Noryah Mohamed (tengah) di Jalan Pantai Rasa Sayang, Sungai Burong, hari ini. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin

Terdahulu, Pengerusi PUNB Tan Sri Noh Omar menyampaikan surat kelulusan pembinaan rumah baharu kepada Noryah.

Noryah berkata, sumbangan itu dianggap hadiah paling bermakna dalam hidupnya sepanjang menetap di rumah pusaka itu sejak 65 tahun lalu.

"Menjadi impian saya untuk tinggal di kediaman yang selesa dan selamat selain dibina di atas tanah yang sama.

"Saya hargai pemberian rumah daripada PUNB yang dijangka siap dalam tempoh sebulan," katanya yang masih bujang.

Sementara itu, Noh berkata, empat rumah baharu bakal dibina manakala dua akan dibaik pulih dalam kawasan Parlimen Tanjong Karang.

"Senarai semua penerima diperoleh menerusi Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang terdiri daripada asnaf dan layak menerima bantuan itu.

"Pembinaan rumah membabitkan kos RM30,000 setiap satu. Ia dijangka siap dalam tempoh seawal tiga minggu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mac 2021 @ 7:24 PM