Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Aulong ketika sesi perbahasan Titah Diraja di Persidangan Dewan Undangan Negeri di Dewan Negeri Bangunan Perak Darul Ridzuan. FOTO IHSAN URUSETIA DEWAN NEGERI PERAK
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Aulong ketika sesi perbahasan Titah Diraja di Persidangan Dewan Undangan Negeri di Dewan Negeri Bangunan Perak Darul Ridzuan. FOTO IHSAN URUSETIA DEWAN NEGERI PERAK
Oleh Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Pentadbiran negeri di bawah Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad yang berjaya memberi kesaksamaan dan mempamerkan politik matang mendapat pujian pembangkang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Aulong, Nga Kor Ming berkata, ini terbukti dengan pemberian peruntukan secara saksama kepada semua ADUN termasuk pembangkang serta kehadiran pembangkang di mesyuarat kerajaan negeri.

"Saya merakamkan penghargaan kepada Menteri Besar Perak kerana peruntukan saksama kepada semua ADUN termasuk pembangkang dan kehadiran pembangkang di mesyuarat kerajaan, ini menjadikan Perak negeri pertama yang mempamerkan kematangan berpolitik pada aras yang tinggi.

"Langkah baru ini adalah satu permulaan positif dan model Perak mampu untuk mengubah landskap politik negara dan kini mendapat juga pengiktirafan dalam titah Tuanku. Ini adalah langkah membina budaya politik yang berpaksikan kepada agenda reformasi dan kepentingan rakyat secara keseluruhan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan Titah Diraja di Persidangan Dewan Undangan Negeri di Dewan Negeri Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi DAP Perak, berkata, malahan ketika ini Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut mengikut model negeri perak dan amalan Saarani yang juga ADUN Kota tampan.

"Perdana Menteri pun tanda tangan kenyataan bersama, inilah permulaan yang baik, kematangan politik di aras tertinggi. Perak jadi teladan terbaik, syabas saya ucapkan kepada Menteri Besar Perak," katanya.

Justeru, Kor Ming berkata, beliau menggesa kerajaan melakukan langkah-langkah yang konkrit untuk memberhentikan politik perkauman dan fahaman sempit agama yang ekstrim.

"Perdana Menteri sudah memperkenalkan konsep Keluarga Malaysia, sudah enam dekad kita Merdeka oleh itu marilah kita seperti dikatakan pepatah Melayu, ambil yang jernih tinggalkan yang keruh.

"Sekadar menanam tebu di bibir adalah tidak memadai. Sempena bulan kemerdekaan ini jelas pembentukan semangat Keluarga Malaysia perlu dipergiatkan supaya dasar kerajaan dilaksanakan tanpa sebarang bentuk diskriminasi," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengemukakan cadangan memperkukuhkan institusi dan Reformasi Dewan Negeri dengan menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Bajet, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Kesihatan Awam serta Pengurusan Tanah.

"Kedua, selaras dan seiring dengan peranan penting dimainkan pihak pembangkang, wakil pembangkang dicadangkan dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Perak.

"Perkara ini sudah diamalkan di Dewan Rakyat dan DUN perak harus mencontohi teladan baik ini demi memastikan sistem semak dan imbang ini memainkan peranan penting," katanya.

Tambah beliau, sebagaimana dengan janji bekas Perdana Menteri dan selaras dengan agenda reformasi, yang mana Ketua Pembangkang Dewan Rakyat akan diberi kedudukan bertaraf menteri, maka Ketua Pembangkang DUN Perak wajar diberi kedudukan bertaraf EXCO Kerajaan Negeri.

Katanya, selain itu Meminda enakmen negeri dan Perintah Tetap Dewan Negeri agar memberi kuasa kepada PAC untuk memanggil saksi dan memberi keterangan semasa soal siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Ogos 2021 @ 1:08 PM