Saarani Mohamad
Saarani Mohamad
Zahratulhayat Mat Arif


Ipoh: Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad akan menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, esok untuk memohon perkenan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Saya akan mohon menghadap Duli Yang Maha Mulia Tuanku pada esok, Rabu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Saarani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Tampan berkata, DUN Perak hanya akan dibubarkan, jika mendapat perkenan Sultan Nazrin.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Perak mempunyai 59 kerusi DUN dan pembubaran DUN membolehkan pilihan raya negeri serentak dengan PRU-15.

Kerajaan Perak sekarang diterajui UMNO dengan 25 kerusi, BERSATU (empat), PAS (tiga) Bebas (tiga).

Pembangkang pula terdiri daripada DAP 16 kerusi, AMANAH (lima) dan PKR (tiga).

Saarani dilantik sebagai Menteri Besar selepas kemelut politik pada Disember 2020, menggantikan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Oktober 2022 @ 11:43 AM