SAARANI mengulungkan perbahasan pada Mesyuarat KelimaTahun Pertama Persidangan Dewan Undangan Negeri ke-15 Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan. FOTO L. Manimaran
SAARANI mengulungkan perbahasan pada Mesyuarat KelimaTahun Pertama Persidangan Dewan Undangan Negeri ke-15 Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan. FOTO L. Manimaran
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Kerajaan Perak hari ini mengumumkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk pembangkang bakal menerima bantuan khas kewangan (BKK) sebulan gaji.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, BKK terbabit bakal diterima 48 daripada keseluruhan 59 ADUN serta Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN).

Katanya, 48 ADUN itu adalah mereka yang tidak menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri atau Exco Kerajaan Negeri selaku Ex-Offcio yang sudah diumumkan mendapat BKK dua bulan gaji sewaktu pembentangan Belanjawan 2024 Perak pada Jumaat lalu.

"Sebagai buah tangan kepada persidangan DUN kali ini, kerajaan negeri setuju untuk membayar BKK sebulan gaji kepada 48 ADUN dan seorang Speaker," kata Saarani (BN-Kota Tampan)

ketika sesi penggulungan Enakmen Perbekalan Tahun 2024 dan Usul Kumpulan Wang Pembangunan 2024 dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, hari ini.

Pengumuman itu disambut baik tiga ADUN pembangkang iaitu Razman Zakaria (PN-Semanggol), Mohd Akmal Kamarudin (PN-Selama) dan Noor Azman Ghazali (Alor Pongsu).

Menurut Saarani, menerusi Belanjawan 2024 Perak itu, kerajaan negeri juga bersetuju untuk meneruskan peruntukan sama rata RM7,000 sebulan kepada semua 59 Pusat Khidmat ADUN Perak meliputi kerajaan mahupun pembangkang.

Katanya, ia meliputi sebahagian peruntukan RM45.5 juta yang dinyatakan semasa membentangkan Belanjawan 2024 Perak juga pada Jumaat lalu iaitu bagi menyelaraskan, menambah baik dan melicinkan urus tadbir termasuk mengukuhkan sistem penyampaian Kerajaan di semua 59 kawasan DUN di Perak.

"Kerajaan negeri tidak akan menzalimi mana-mana rakyat di semua 59 kawasan DUN di Perak, dengan akan memastikan setiap lapisan rakyat tanpa mengira kawasan kerajaan mahu pun pembangkang akan dapat merasai hasil peruntukan yang disalurkan," katanya.

Sementara itu, DUN Perak hari ini meluluskan Belanjawan 2024 dengan peruntukan RM1.35 bilion membabitkan anggaran perbelanjaan mengurus RM856 juta dan pembangunan RM491 juta, sekali gus adalah belanjawan tertinggi dalam sejarah negeri ini.

Bacaan kedua dan ketiga Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2024 dan Usul Kumpulan Wang Pembangunan 2024 itu dipersetujui dengan sebulat suara 53 ADUN yang menghadiri persidangan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2023 @ 1:56 PM