Hazsyah Abdul Rahman


PENUNGGANG motosikal dalam video tular membabitkan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), diberkas polis, hari ini.

Dalam kejadian 10.30 pagi itu, suspek warga Indonesia berusia 20 tahun, dilaporkan menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan tidak memiliki dokumen pengenalan diri.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor, berkata, kejadian berkenaan dilaporkan berlaku di Kilometer 23, Jalan Lahad Datu–Sandakan.

Katanya, sebelum kejadian sepasukan anggota JPJ menjalankan sekatan jalan raya di lokasi itu dan sepasukan lagi menaiki kenderaan JPJ untuk memeriksa kenderaan yang berhenti sebelum sekatan.

“Apabila pemeriksaan dijalankan di lokasi sebelum sekatan, seorang penunggang motosikal berhenti dan anggota JPJ mengarahkan penunggang itu meneruskan perjalanan ke arah sekatan terbabit.

“Namun, penunggang motosikal berpatah balik dengan niat melarikan diri dari sekatan dan cuba merempuh dua pegawai JPJ yang sedang mengawal lalu lintas.

“Laporan turut mendakwa, tayar motosikal bergesel dengan bahagian hadapan kenderaan JPJ menyebabkan motosikal terbabas ke parit tepi jalan raya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Nasri berkata, penunggang bersikap agresif dan enggan berhenti menyebabkan angggota JPJ melompat ke arah penunggang motosikal.

“Cubaan anggota JPJ melompat ke arah penunggang motosikal itu tidak mengenai penunggang terbabit lalu anggota itu tergelincir di tepi longkang.

“Namun akhirnya, anggota JPJ terbabit berjaya menahan lelaki itu dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu untuk tindakan lanjut sebelum penunggang diberkas polis.

“Siasatan diteruskan mengikut Seksyen 186/323 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen kerana tiada dokumen,” katanya.

Menurut Nasri, pihaknya juga masih meneruskan siasatan daripada pelbagai sudut lain.

Terdahulu, video berdurasi 45 saat memaparkan anggota JPJ seolah-olah memukul seorang penunggang motosikal tular melalui WhatsApp.

Berita berkaitan:

  • Siasat video tular JPJ agresif [METROTV]
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 January 2020 @ 11:34 PM