Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Pembinaan projek perumahan Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) di Sungai Besi atau Residensi Sateria untuk warga Kementerian Pertahanan (Mindef) dijangka siap sepenuhnya lewat tahun depan.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, projek itu yang dimulakan pada 2022 sudah mengalami enam peratus kelewatan akibat pandemik Covid-19.

Beliau berkata, bagi mempercepatkan projek itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sudah membenarkan tambahan operasi tiga jam iaitu sehingga 8 malam di kawasan tapak pembinaan.

"Cadangan pelaksanaan pembinaan perumahan SASaR ATM ini membuka peluang kepada warga kerja pertahanan termasuk anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), veteran ATM dan warga kerja awam Mindef untuk memiliki rumah yang selesa dengan harga mampu milik di bandaraya Kuala Lumpur.

"Kemajuan projek ini 21 peratus pembinaannya walaupun sepatutnya sekarang sudah 27 peratus terkebelakang enam peratus. Namun dengan kebenaran ekstra tiga jam operasi, Mindef sasar dapat serah pada penghujung 2024," katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan di kawasan pembinaan Residensi Sateria, di sini, hari ini.

MOHAMAD diiringi Affendi melawat ruang pameran ketika tinjauan kerja pembinaan perumahan SASaR di Galeri Jualan Sateria Residensi Platinum South Valley, Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
MOHAMAD diiringi Affendi melawat ruang pameran ketika tinjauan kerja pembinaan perumahan SASaR di Galeri Jualan Sateria Residensi Platinum South Valley, Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

Hadir sama, Ketua Setiausaha Mindef, Datuk Seri Muez Abd Aziz, Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain dan Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan.

Projek SASaR Sungai Besi membabitkan pembinaan lima blok kediaman meliputi 3,500 unit berharga antara RM150,000 hingga RM350,000 mengikut saiz kediaman.

Mohamad berkata, projek SASaR ATM adalah satu daripada agenda teras Mindef bagi menjaga kebajikan dan kualiti hidup warga kerja pertahanan.

"Agenda yang digerakkan menerusi Blueprint Perumahan 3.0 ini adalah garapan yang mendukung secara langsung Pelan Strategik Mindef 2021-2025, di bawah Teras 3 iaitu Pelestarian Kesejahteraan Warga dan Veteran ATM.

"Intipati agenda ini saling melengkapi secara holistik kepada strategi yang digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan terutamanya yang menyentuh mengenai warga pertahanan, yang mana ianya menterjemahkan penghargaan terhadap profesionalisme dan pengalaman serta mengiktiraf kompleksiti tugas anggota tentera," katanya.

Beliau berkata, inisiatif SASaR ATM adalah sebahagian daripada keutamaan yang ditetapkan oleh Mindef dalam menjaga kebajikan warganya selaras dengan Amanat Menteri Pertahanan bagi tahun 2023.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 January 2023 @ 12:40 PM