TUN Dr Siti Hasmah melancarkan kempen Tabung Hari Pahlawan 2019 bersama Mohamad (kiri) dan Dzulkarnain. FOTO HAFIZ SOHAIMI
TUN Dr Siti Hasmah melancarkan kempen Tabung Hari Pahlawan 2019 bersama Mohamad (kiri) dan Dzulkarnain. FOTO HAFIZ SOHAIMI
Mohd Hilmie Hussin


LEBIH banyak syarikat korporat diminta tampil mengisi Tabung Pahlawan 2019.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, ketika ini hanya syarikat korporat berkepentingan dengan Kementerian Pertahanan yang memberi sumbangan kepada tabung berkenaan.

“Saya kecewa syarikat korporat lain tidak turut sama menyumbang. Perlu diingat, tanpa keamanan negara dipertahankan tentera, mereka mungkin tidak dapat menjalankan perniagaan sehingga berkembang pesat.

“Saya sendiri sudah pergi ke dua syarikat korporat dan akan terus bertemu dengan syarikat korporat lain untuk mengisi tabung ini,” katanya selepas Pelancaran Kempen Tabung Pahlawan 2019 di Wisma Perwira, Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur, malam tadi.

Tabung berkenaan dilancarkan Isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Mohd Zuki Ali; Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin; Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran, Datuk Dzulkarnain Ahmad.

Sementara itu, sekurang-kurangnya RM6 juta kutipan disasarkan untuk Kempen Tabung Pahlawan 2019.

Mohamad berkata, kutipan itu akan disalur kepada veteran ATM dan mereka yang memerlukan.

“Ia akan digunakan untuk kebajikan veteran dan ahli keluarga mereka secara menyeluruh merangkumi Veteran Kelainan Upaya (VKU) , bantuan khas kepada balu dan anak dalam kategori OKU, veteran yang terbabit musibah kebakaran dan bencana alam, bantuan kerusi roda dan bantuan pengurusan jenazah.

“Dengan adanya tabung ini, kita harap dapat mengurangkan kebergantungan kepada peruntukan kerajaan kepada Veteran ATM pada masa hadapan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 September 2019 @ 12:19 AM