Musa Bujang menunjukkan sijil vaksinasi lengkap. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Musa Bujang menunjukkan sijil vaksinasi lengkap. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Nazri Abu Bakar


Melaka: "Bagi saya ini perkara kecil ( suntikan dua dos vaksin) kerana saya pernah menerima lebih 30 suntikan vaksin sebelum, semasa dan selepas menyertai misi keamanan di bawah panji Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Bosnia-Herzegovina," ujar pesara tentera, Musa Bujang, 64.

Menurutnya, dia yang pernah berkhidmat di bawah 14 Rejimen Askar Melayu Diraja (14 RAMD) menyertai misi berkenaan sebanyak dua kali iaitu pada tahun 1996 dan 1997.

"Suntikan vaksin sebanyak itu diperlukan bagi kekuatan antibodi dan kawalan penyakit sepanjang saya berada di negara berkenaan.

"Apa yang berlaku di Bosnia adalah jenayah perang yang mengorbankan ratusan ribu nyawa tidak berdosa. Ia antara kekejaman paling teruk di Eropah sejak Perang Dunia Kedua," katanya.

Menurutnya, dia bersyukur apabila selesai menerima dua suntikan vaksin di Pusat pemberian Vaksin (PPV) Simpang Empat di sini, semalam.

"Ini juga satu pengorbanan bagi membolehkan langkah pencegahan terhadap jangkitan wabak berkenaan di dalam masyarakat," katanya,.

Dia yang tinggal di Kampung Lendu di sini berkata, dia memastikan diri dan semua ahli keluarga mengambil vaksin covid-19 kerana menyedari bahaya pandemik berkenaan.

"Saya dimaklumkan seramai 126,892 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga sudah selesai menerima dua dos vaksin sekali gus mencapai status imuniti kelompok dalam kalangan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Angkatan Tentera Darat (TDM)," katanya.

Sementara itu, seorang lagi bekas tentera, Malik Hamdan Ahmad, 55, yang menetap di Durian Tunggal berkata, pengalaman disuntik

vaksin ketika berkhidmat di Bosnia pada tahun 1995 dan 1996 segar diingatan.

"Ketika itu kami perlu menerima tiga hingga empat dos suntikan vaksin dalam satu masa hingga menyebabkan tangan tidak boleh diangkat selama dua hari.

"Apapun saya mengharapkan orang ramai turut mengambil vaksin Covid-19 bagi mencapai imuniti kelompok," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Ogos 2021 @ 2:26 PM