DOS penggalak sudah diberikan kepada penduduk di seluruh dunia.
DOS penggalak sudah diberikan kepada penduduk di seluruh dunia.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


PUSAT Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) mengukuhkan saranannya mengenai dos penggalak kepada individu yang berumur 18 tahun ke atas.

Dalam laporannya, CDC menyatakan setiap individu berumur 18 tahun ke atas perlu mendapat suntikan penggalak selepas enam bulan menerima dos kedua vaksin Comirnaty atau Moderna.

Bagi penerima vaksin Covid-19 keluaran Johnson & Johnson (J&J), suntikan dos penggalak boleh dilakukan selepas dua bulan menerima suntikan vaksin pertama.

Kemunculan varian Omicron menunjukkan kepentingan mengambil suntikan dos penggalak sebagai usaha pencegahan bagi melindungi kesan lebih teruk jangkitan virus Covid-19.

Saintis di Amerika Syarikat dan seluruh dunia sedang menilai keberkesanan vaksin terhadap varian Omicron.

CDC sangat menggalakkan 47 juta orang dewasa yang belum divaksin supaya segera mendapatkan vaksinasi.

Data daripada ujian klinikal menunjukkan bahawa suntikan penggalak meningkatkan tindak balas imun kepada individu selepas enam bulan menerima dos kedua Comirnaty atau Moderna dan dua bulan bagi vaksin J&J.

Peningkatan tindak balas imun ini meningkatkan perlindungan terhadap virus Covid-19 termasuk varian Delta.

Setakat ini, kesan sampingan yang dilaporkan selepas memperoleh dos penggalak adalah serupa dengan dos pertama dan kedua.

Demam, sakit kepala, keletihan dan sakit di tempat suntikan adalah kesan sampingan yang paling kerap dilaporkan.

Secara keseluruhan, kebanyakan kesan sampingan adalah ringan serta sederhana.

Seperti dos pertama dan kedua, kesan sampingan yang serius jarang berlaku, tetapi berkemungkinan boleh terjadi.

Sementara itu, kajian lain menunjukkan bahawa keupayaan vaksin mencegah jangkitan pelbagai varian berkurangan dari masa ke semasa selepas suntikan dos pertama dan kedua.

Walaupun vaksin Covid-19 kekal berkesan untuk pencegahan kesan yang lebih teruk, tetapi data terkini menunjukkan perlindungannya kurang berkesan kepada golongan berusia 65 tahun ke atas.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Disember 2021 @ 6:55 AM