FOTO FB Abdul Rani Kulop.
FOTO FB Abdul Rani Kulop.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Ahli perniagaan yang mendakwa dirinya 'Sultan Melaka', Noor Jan Tuah dilaporkan meninggal dunia akibat Covid-19, hari ini.

Difahamkan, Noor Jan, 64, dari Taman Seri Gombak meninggal dunia kira-kira 8 pagi hari ini.

Kematiannya dimaklumkan aktivis yang juga Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah menerusi akaun Facebook, hari ini.

"Assalamualaikum. Dukacitanya dimaklumkan bahawa Tuanku Raja Noor Jan Shah telah kembali ke Rahmatullah sebentar tadi.

"Salam takziah buat mak engku Tuanku Zaidatul Mardiah Yussuf serta seluruh ahli keluarga dan kerabat," katanya.

Selain itu, warganet menggunakan media sosial untuk menyampaikan ucapan takziah atas kematian Noor Jan yang turut diletakkan tanda pagar #covidfighter.

Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Taman Batu Muda di sini, petang ini.

Sebelum ini, Noor Jan pernah mencetuskan kontroversi apabila mendakwa dirinya Sultan Melaka dan arwah pernah dituduh di Mahkamah Sesyen Air Keroh, Melaka pada 2016 dengan empat pertuduhan menipu dan menyamar sebagai Sultan Melaka di sebuah pusat peranginan di Alor Gajah.

Noor Jan didakwa menyamar sebagai Sultan Melaka dengan mengadakan majlis penganugerahan pingat, bintang dan darjah kebesaran yang tidak diiktiraf kepada empat lelaki berusia 35 hingga 66 tahun, pada 28 Disember 2013

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan, namun pada Julai 2018, Mahkamah Sesyen Air Keroh melepas dan membebaskan Noor Jan daripada empat pertuduhan itu.

Pihak pendakwaan mengemukakan rayuan, namun pada April 2019, Mahkamah Tinggi Melaka mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen untuk melepas dan membebaskan Noor Jan.

Keputusan dicapai berikutan kegagalan pihak pendakwaan menimbulkan keraguan munasabah terhadap tertuduh berhubung empat tuduhan menipu dan menyamar sebagai Sultan Melaka dan Mahkamah Rayuan Putrajaya turut mengekal pembebasan Noor Jan pada Januari tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Ogos 2021 @ 6:17 PM