NOOR Jan diiringi anggota polis di  Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, semalam.
NOOR Jan diiringi anggota polis di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, semalam.
Salman Hamat


Melaka: “Terima kasih Yang Arif. Assalamualaikum.” Demikian kata Noor Jan Tuah, 59, kepada Hakim Ahmad Sazali Omar selepas proses pertuduhan terhadapnya menipu empat lelaki dengan menyamar sebagai Sultan Melaka selesai.

Terdahulu, Noor Jan yang hadir ke Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, di sini, semalam mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan berasingan menipu empat lelaki dan minta dibicarakan.

Dia didakwa menipu Zaamat Md Idris, Mokhtar Md Yusof, Ahmad Zainuddin Abdul Hamid dan Hazizi Ikhwan Zaamat dengan menyerahkan surat pelantikan dirinya sebagai Sultan Melaka.

Tertuduh dengan nama samaran didakwa mengadakan istiadat penyerahan surat pelantikan dirinya sebagai Sultan Melaka pada satu majlis istiadat sedangkan itu bukan identiti sebenarnya.

Bagi kesalahan itu, Noor Jan dituduh mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan pada majlis istiadat penyerahan surat pelantikan dirinya sebagai Sultan Melaka di A’Famosa Resort Melaka, jam 10 malam, 28 Disember 2013.

Peguam Surjan Singh Sindhu memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan seperti dicadangkan pihak pendakwaan kepada RM3,000 saja dengan alasan kes itu tidak serius.

Menurutnya, sebelum ini sudah ada beberapa kes membabitkan individu didakwa di mahkamah kerana menyamar tidak dikenakan kadar jaminan tinggi.

“Selain itu anak guam saya juga memberikan kerjasama penuh sejak daripada kes ini mula disiasat, dia bukan nak lari daripada mahkamah, anaknya akan menjaminnya,” katanya.

Namun, Timbalan Pendakwa Raya Lee Chee Thim berkata, kadar jaminan RM10,000 adalah patut berikutan pertuduhan terhadap Noor Jan adalah serius, berprofil tinggi dan berkaitan Perlembagaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 November 2016 @ 9:03 AM