Suraya Roslan dan Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Ketua dan wakil parti politik Malaysia mula tiba di Istana Negara jam 1.50 petang tadi.

Mereka tiba bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Antara yang tiba Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Selain itu, Pas diwakili Timbalan Presiden, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man manakala DAP diwakili Setiausaha Agung, Lim Guan Eng.

Parti Keadilan Rakyat (PKR) diwakili Presidennya Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Mohamad Sabu mewakili Parti Amanah Negara (Amanah).

Perkarangan Pintu 2 Istana Negara kini dipenuhi pengamal media tempatan dan antarabangsa sejak pagi tadi.

Al-Sultan Abdullah hari ini berkenan menerima mengadap Ketua Parti Politik untuk membincangkan Ahli Parlimen yang akan dipilih menjadi Perdana Menteri kesembilan.

Ia susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dan Jemaah Menteri berkuat kuasa serta-merta semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Ogos 2021 @ 3:03 PM
Anwar Ibrahim tiba di Istana Negara sebentar tadi bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. FOTO ASWADI ALIAS
Anwar Ibrahim tiba di Istana Negara sebentar tadi bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. FOTO ASWADI ALIAS