Suraya Roslan dan Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Parti politik diminta untuk terus menumpukan usaha menyelamatkan negara dari Covid-19 dan meningkatkan semula ekonomi.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pesanan itu dilontarkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini.

Beliau berkata, Al-Sultan Abdullah mahu semua parti politik bersatu dan mencari calon yang mendapat majoriti untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

"Yang Dipertuan Agong mahukan politik baharu yang lebih aman dan parti politik perlu berubah dan mendapat persefahaman serta muafakat baharu.

"Setiap ketua parti diminta memberikan pandangan dan ketika pertemuan tadi semua ada konsensus untuk menghentikan politik lama yang melelahkan dan membosankan," katanya ketika ditemui di luar Pintu 2 Istana Negara hari ini.

Terdahulu, pemimpin utama parti politik tanah air selesai mengadap Al-Sultan Abdullah jam 4 petang.

Selain Anwar, pemimpin lain yang hadir antaranya Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

ANWAR selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara. FOTO Aswadi Alias
ANWAR selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara. FOTO Aswadi Alias

Pas diwakili Timbalan Presiden, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man manakala DAP diwakili Setiausaha Agung, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu mewakili Parti Amanah Negara (Amanah).

Beberapa lagi pemimpin politik bagaimanapun terus berlalu tanpa menberikan sebarang komen kepada media.

Al-Sultan Abdullah hari ini berkenan menerima mengadap Ketua Parti Politik untuk membincangkan Ahli Parlimen yang akan dipilih menjadi Perdana Menteri kesembilan.

Ia susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dan jawatan seluruh Jemaah Menteri berkuat kuasa serta-merta, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Ogos 2021 @ 5:49 PM