Petugas menguruskan mayat mangsa Covid-19. FOTO Effendy Rashid
Petugas menguruskan mayat mangsa Covid-19. FOTO Effendy Rashid
Mohd Amin Jalil


Seremban: Dakwaan segelintir pihak terdapat lebih 40 mayat berbangsa India yang meninggal dunia akibat Covid-19 tidak dituntut di Hospital Tuanku Ja`afar (HTJ) Seremban adalah tidak benar.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam Negeri Sembilan, J Arul Kumar berkata, pihaknya mendapat aduan mengenai perkara berkenaan sejak dua hari lalu selepas perkara itu tular di beberapa laman sosial termasuk kumpulan WhatsApp.

"Sejak beberapa hari ini ada pihak cuba menularkan satu mesej bahawa terdapat lebih 40 mayat berbangsa India yang meninggal dunia akibat Covid-19 tidak dituntut oleh keluarga mereka di Seremban.

"Saya sudah menghubungi Pengarah HTJ untuk mendapatkan penjelasan dan beliau sendiri menyatakan perkara terbabit tidak benar.

"Sehingga hari ini semua mayat berbangsa India yang meninggal dunia akibat Covid-19 sudah dituntut oleh keluarga masing-masing," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Terdahulu, tular satu audio berbahasa Tamil mengatakan terdapat lebih 40 mayat berbangsa India yang meninggal dunia akibat Covid-19 tidak dituntut dan berlambak di bilik mayat HTJ.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nilai berkata, pihaknya kesal dengan tindakan pihak terbabit menularkan perkara yang tidak benar sehingga menimbulkan kekeliruan orang ramai.

Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai tidak menyebarkan berita atau isu yang tidak benar dan sensitif seperti ini kerana ia boleh mencetuskan suasana tidak aman termasuk mengganggu sensitiviti masyarakat.

"Saya berharap orang ramai lebih bertanggungjawab dengan tidak menyebarkan berita yang tidak sahih di laman sosial.

"Dalam menghadapi cabaran pandemik ini, seharusnya kita bersikap bertanggungjawab untuk membantu pihak berkuasa terutama Kementerian Kesihatan bagi menyedarkan masyarakat terhadap bahaya Covid-19," katanya.

Sementara itu, Pengarah HTJ, Dr Zaleha Mohd Nor mengesahkan isu lambakan mayat tidak dituntut akibat Covid-19 adalah palsu.

"Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan tidak mempercayai berita yang tular ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Ogos 2021 @ 1:14 PM