Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. FOTO Arkib NSTP
Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. FOTO Arkib NSTP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Dakwaan kes jenayah di negara ini semakin meningkat kerana ramai individu hilang pekerjaan ketika pandemik Covid-19 adalah tidak benar.

Sebaliknya, statistik pada Januari hingga 15 November lalu menunjukkan kes jenayah di negara ini menurun sebanyak 23 peratus.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, pihaknya mengambil maklum wujud kerisauan dalam kalangan masyarakat mengenai kemungkinan berlaku peningkatan kes jenayah akibat Covid-19 berikutan ramai orang akan hilang pekerjaan.

"Masyarakat menjadi bertambah gusar apabila wujud perkongsian yang ditularkan individu menerusi satu video di platform media sosial.

"Untuk makluman, kes jenayah yang dilaporkan pada 1 Januari hingga 15 November adalah 56,117 kes iaitu penurunan sebanyak 23 peratus berbanding 72,836 dalam tempoh sama pada tahun lalu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliua berkata, bagi jenayah ragut pula sebanyak 1,160 kes dilaporkan dalam tempoh 1 Januari hingga 15 November berbanding tempoh sama yang mencatatkan 2,216 kes.

"Ini menunjukkan penurunan sebanyak 1,056 kes iaitu 47,65 peratus dan 527 suspek berjaya ditahan kerana terbabit dalam jenayah ragut.

"Dalam tempoh sama pada tahun lalu, seramai 893 individu ditahan kerana melakukan jenayah ragut," katanya.

Menurutnya, berpandukan statistik berkenaan dakwaan bahawa kes jenayah di Malaysia meningkat disebabkan ramai orang kehilangan pekerjaan adalah tidak benar.

"Walaupun statistik menunjukkan penurunan kes, pihak polis akan sentiasa memastikan trend jenayah terus menurun dengan mengambil tindakan yang lebih komprehensif.

"Polis juga mengingatkan orang awam supaya tidak sewenang-wenangnya membuat, berkongsi atau menularkan sebarang berita atau gambaran salah berkenaan trend jenayah yang tidak disokong fakta sahih daripada pihak berkuasa," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 November 2020 @ 8:49 AM