DR Mohammad Faid Abd Rashid. FOTO Hasriyasyah Sabudin
DR Mohammad Faid Abd Rashid. FOTO Hasriyasyah Sabudin
Mohd Amin Jalil


SEMUA klinik di negeri ini beroperasi seperti biasa sekali gus mengesahkan tiada klinik yang ditutup.

Pemangku Pengarah Kesihatan negeri Dr Mohammad Faid Abd Rashid berkata, dakwaan bahawa ada klinik ditutup seperti yang tular di media sosial adalah tidak benar.

Beliau berkata, terdapat beberapa klinik kesihatan di sekitar Seremban terbabit dengan aktiviti persampelan bagi penyakit disyaki COVID-19.

“Aktiviti disinfeksi adalah amalan rutin yang dijalankan di semua fasiliti kesihatan untuk mencegah jangkitan silang kepada pesakit lain dan anggota kesihatan.

“Aktiviti disinfeksi biasanya dijalankan selepas waktu operasi klinik kesihatan.

“Justeru, semua klinik kesihatan di Negeri Sembilan beroperasi seperti biasa dan tiada yang ditutup. Apa yang tular di laman sosial itu adalah tidak benar,” katanya pada kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Mohammad Faid berkata, ada individu tidak bertanggungjawab menyebarkan berita tidak benar di media sosial sehingga mengakibatkan keresahan orang ramai.

Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak supaya sentiasa berhati-hati dan tidak menularkan berita yang boleh menimbulkan kebimbangan dalam masyarakat.

“Saya mohon kerjasama orang ramai supaya tidak melakukan sesuatu yang boleh menggugatkan ketenteraman dan menimbulkan keresahan orang ramai,” katanya.

Menurut beliau, Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNS) sentiasa memantau perkembangan Covid-19 dan akan memaklumkan kepada orang ramai dari semasa ke semasa perkembangannya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mac 2020 @ 3:43 PM