Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Dakwaan seorang aktivis mengenai kematian lima remaja selepas mendapat suntikan vaksin di Perak, Sabah dan lokasi yang tidak dimaklumkan adalah tidak benar.

Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) mengambil maklum dengan klip video yang tular semalam yang turut menyentuh kemasukan dua remaja ke sebuah hospital selepas mengalami kesan samping susulan suntikan vaksin Covid-19.

Beliau yang juga Pengerusi Pasukan Bertindak Imunisasi Covid-19 Remaja, berkata dua remaja berusia 17 dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek Damai di Ipoh, Perak, meninggal dunia sebelum mereka menerima suntikan vaksin.

"Remaja perempuan itu adalah pesakit penyakit kencing manis yang bergantung kepada rawatan insulin dan dijangkiti Covid-19 sebelum meninggal pada 18 Ogos lalu sebelum Program Vaksinasi PICK Remaja bermula.

"Seorang lagi adalah remaja lelaki menghidap penyakit jantung kongenital yang mendapat jangkitan kuman teruk," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Dr Noor Azmi berkata, remaja terbabit dirawat dan menerima bantuan pernafasan serta resusitasi tetapi meninggal dunia pada 17 September lalu serta belum menerima vaksin Covid-19.

Katanya, punca kematian pelajar terbabit adalah sepsis dengan sejarah penyakit kongenital (Sepsis with Underlying Congenital Health Disease), manakala hasil siasatan pula mendapati tiada laporan kematian remaja di Lahad Datu susulan vaksin Covid-19.

Berhubung dakwaan dua remaja dimasukkan ke hospital selepas mengalami kesan sampingan susulan suntikan vaksin jenis Comirnaty, Dr Noor Azmi berkata, siasatan pihaknya mendapati dua remaja yang berusia 16 dan 18 tahun itu dimasukkan ke sebuah hospital swasta di Ipoh.

Beliau berkata, remaja berusia berusia 16 tahun sudah dibenarkan keluar dari hospital manakala remaja yang berusia 18 tahun masih dalam rawatan dan pemerhatian doktor pakar di hospital itu.

"Semakan oleh Agensi Regulatori Farmasi Negara (NPRA) bagaimanapun mendapati laporan kesan sampingan kedua beradik ini masih belum diterima," katanya.

Sehubungan itu katanya, KKM menasihatkan semua pengamal perubatan kerajaan dan swasta yang mengesyaki pesakit mereka mengalami kesan sampingan akibat vaksin (AEFI) untuk segera membuat laporan AEFI kepada NPRA.

Video tular berdurasi satu minit 40 saat itu memaparkan seorang wanita mendakwa beberapa individu termasuk dua pelajar sekolah menengah di Ipoh, Perak dan seorang remaja di Lahad Datu, Sabah meninggal dunia akibat vaksin Covid-19.

Terdahulu, Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata dakwaan mengenai dua pelajar sekolah di Ipoh, Perak meninggal dunia selepas menerima vaksin Covid-19 seperti didakwa dalam video berkenaan adalah tidak benar.

Pada masa sama, Dr Noor Azmi berkata, penyebaran maklumat yang tidak benar kepada masyarakat adalah sikap yang sangat tidak bertanggungjawab selain KKM menasihatkan semua pihak yang ingin membuat kenyataan umum untuk bersedia bertanggungjawab terhadap kesan dan implikasi daripada tindakan yang dibuat.

Beliau berkata, semua pihak perlu memastikan kesahihan sumber maklumat yang ingin dikongsi daripada sumber atau pihak bertanggungjawab, sebelum mengeluarkan maklumat awam.

Katanya, kenyataan yang salah akan menyebabkan kekeliruan dan salah tanggap ibu bapa terhadap Program Vaksinasi Covid-19 untuk Remaja.

Selain itu, beliau berkata, KKM menasihatkan ibu bapa atau penjaga untuk memantau keadaan remaja selepas menerima vaksin Comirnaty berikutan kesan sampingan selepas vaksinasi boleh berlaku dan kebanyakannya adalah kesan ringan.

"Sila bawa anak atau tanggungan ke fasiliti kesihatan dengan segera untuk rawatan sekiranya mengalami gelaja selepas menerima vaksin seperti sakit dada, sukar bernafas, berdebar, bengkak dan gatal pada tubuh yang teruk," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 September 2021 @ 5:46 PM