Datuk Shadan Othman (kiri) ketika program sumbangan makanan haiwan di Zoo Melaka. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Datuk Shadan Othman (kiri) ketika program sumbangan makanan haiwan di Zoo Melaka. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Nazri Abu Bakar


Melaka: Pulangkan haiwan dalam penjagaan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) terpaksa dilakukan sekiranya destinasi pelancongan dan pusat konservasi haiwan itu tidak dapat beroperasi sehingga akhir tahun ini susulan varian baru dan pandemik Covid-19.

Itu antara langkah penswastaan dan penstrukturan semula zoo Melaka yang terpaksa dilakukan jika keadaan ketika ini berlarutan.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datuk Shadan Othman berkata, kajian akan dilaksanakan bagi mengenal pasti kaedah terbaik penstrukturan pada November hadapan sekiranya Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) tersekat seandainya pandemik Covid-19 kian parah.

Katanya, penswastaan, kaedah perniagaan dan mengurang kos pengurusan antara yang menjadi intipati kajian berkenaan dalam usaha memastikan kebajikan lebih 500 haiwan daripada 250 spesies serta pekerja terjamin.

"Pihak Zoo Melaka memerlukan lebih RM600,000 sebulan untuk menampung kos makanan dan kesihatan haiwan, penyelenggaraan, utiliti dan gaji pekerja sehingga situasi berkenaan semakin kritikal sepanjang pandemik yang hampir memasuki tahun ketiga.

"Ia berikutan zoo tidak dibuka kepada orang ramai menyebabkan tiada pendapatan dan pulangan kepada agensi berkenaan untuk menampung kos operasi setiap hari," katanya semalam.

Justeru, buat masa ini operasi dalam situasi amat terkesan dan MPHTJ terpaksa menampung kos semasa selain menerima sumbangan daripada jabatan serta badan bukan kerajaan (NGO) serta individu persendirian.

Menurutnya, sebelum penularan pandemik Zoo Melaka memerlukan perbelanjaan kira-kira RM1 juta sebulan bagi menampung kos keseluruhan operasi namun jumlah itu berjaya dikurangkan kepada RM650,000 sebulan dalam tempoh PKP.

Beliau berkata, pihaknya yakin Melaka dapat beralih ke Fasa Dua PPN dalam tahun ini juga bagi membolehkan industri pelancongan dalam negeri dapat kembali beroperasi dan zoo terbabit kembali menerima kehadiran pelancong.

Shadan berkata, cabaran getir kini terus dialui MPHTJ dan pengurusan Zoo Melaka kerana dalam tempoh pandemik setakat ini , zoo hanya dapat beroperasi selama enam bulan sahaja pada tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Ogos 2021 @ 3:25 PM