Nazri Abu Bakar


Melaka: Hanya 700 ke 800 pengunjung lengkap vaksinasi yang akan dibenarkan memasuki Zoo Melaka pada satu-satu masa, bermula Jumaat ini.

Itu antara syarat ketat ditetapkan selain prosedur operasi standard (SOP) oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengelak penularan Covid-19.

Bagaimanapun, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datuk Shadan Othman berkata, pihaknya menunggu keputusan kerajaan negeri sama ada membuka Zoo Melaka untuk penduduk negeri sahaja atau turut kepada peserta gelembung pelancongan.

"Persediaan sudah dibuat bahkan, pengurusan zoo juga sudah mencapai imuniti kelompok dengan semua 96 kakitangannya lengkap vaksinasi.

"MPHTJ juga bersedia dari segi kebersihan kawasan dan untuk pelaksanaan semua SOP yang ditetapkan MKN kerana mahu memastikan pengunjung dan kakitangan selamat daripada jangkitan Covid-19.

"Disebabkan itu hanya 700 hingga 800 pengunjung dibenarkan masuk dalam satu-satu masa di kawasan berkeluasan 54 ekar (21.9 hektar) yang menempatkan 673 hidupan liar. Ia untuk keselesaan semua," katanya hari ini.

Beliau mengingatkan pengunjung yang mahu ke Zoo Melaka supaya mematuhi SOP dengan ibu bapa memastikan kanak-kanak seliaan masing-masing patuh peraturan.

Menurutnya, berdasarkan pengalaman, jumlah kunjungan ke Zoo Melaka boleh mencapai 100,000 pengunjung sehari termasuk pada tiga bulan terakhir tahun lalu.

Shadan berkata, ketika penutupannya sepanjang pandemik, Zoo Melaka beroperasi secara maya menerusi penyediaan perkhidmatan ZooToYou yang menarik 30,000 pengunjung.

Katanya, platform itu juga mengumpul RM250,000 hasil sumbangan orang ramai untuk kebajikan haiwan di zoo itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 September 2021 @ 4:37 PM