GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) belum membuat sebarang ketetapan berhubung kebenaran solat berjemaah di masjid dan surau bagi individu yang sudah lengkap vaksinasi Covid-19 di Selangor.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, sehingga kini pihak JAIS belum membuat sebarang keputusan walaupun Majlis Keselamatan Negara (MKN) sudah mengumumkan kelonggaran untuk jemaah lengkap vaksinasi.

"Untuk solat Jumaat dan solat fardhu lima waktu di masjid dan surau di Selangor, JAIS belum membuat sebarang keputusan dan masih meneliti beberapa perkara dan bentuk perlaksanaan yang sesuai. Jika ada, akan dimaklumkan kemudian," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, sebuah masjid di Rawang iaitu Masjid Saidina Ali menerusi satu notis juga memaklumkan masih belum menerima sebarang arahan daripada JAIS untuk membenarkan solat Fardu atau Solat Jumaat secara berjemaah, melainkan arahan sebelum ini.

Menurut notis itu, walaupun ada arahan daripada kerajaan pusat mengenai aktiviti solat dibenarkan di masjid dan surau bagi jemaah yang menerima vaksinasi lengkap, namun masjid itu masih tertakluk kepada titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj dan peraturan JAIS.

"Pihak Masjid Saidina Ali memohon agar jemaah tidak terkeliru dengan arahan MKN dan arahan JAIS kerana pentadbiran agama Islam adalah terletak di bawah kuasa majlis agama negeri masing-masing," menurut notis itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Ogos 2021 @ 2:59 PM