Notis yang dikeluarkan JAIS mengenai penangguhan aktiviti mengimarah dan pelaksanaan solat lima waktu  berjemaah di Surau Haji Nasron, Jalan Cempaka di Meru, Klang. Foto Ihsan JAIS
Notis yang dikeluarkan JAIS mengenai penangguhan aktiviti mengimarah dan pelaksanaan solat lima waktu berjemaah di Surau Haji Nasron, Jalan Cempaka di Meru, Klang. Foto Ihsan JAIS
Ruwaida Md Zain

Shah Alam: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) hari ini mengeluarkan satu notis penangguhan sementara aktiviti mengimarah dan pelaksanaan solat lima waktu berjemaah di Surau Haji Nasron, Jalan Cempaka di Meru, Klang.

Pengarah JAIS Mohd Shahzihan Ahmad berkata, ia susulan ahli jemaah berkenaan mempunyai kontak rapat dengan individu yang disahkan positif Covid-19.

"JAIS dimaklumkan terdapat ahli jemaah surau itu mempunyai kontak rapat dengan individu disahkan positif Covid-19 yang baru pulang mengundi di Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah di Semporna.

"Sehubungan dengan itu, sebagai langkah pencegahan awal bagi mengekang penularan wabak, JAIS mengarahkan pihak jawatankuasa Surau Haji Nasron mengambil tindakan serta merta menangguhkan sementara semua aktiviti pengimarahan dan pelaksanaan solat fardu lima waktu berjemaah," katanya yang mengesahkan perkara ketika itu dihubungi hari ini.

Mohd Shahzihan berkata, hanya tiga petugas jawatankuasa sahaja dibenarkan untuk memimpin solat di surau berkenaan.

"Jawatankuasa surau hendaklah memastikan individu berkenaan menjalankan saringan ujian Covid-19 dan melaporkan keputusan saringan kepada JAIS.

"Proses sanitasi (nyahkuman) hendaklah dilakukan serta merta di seluruh kawasan surau, jawatankuasa surau diarahkan sentiasa memantau rapat perkara ini dan mengingatkan jemaah dan ahli kariah untuk meningkatkan langkah-langkah pencegahan yang dianjurkan oleh JAIS.

"Surau berkenaan hanya boleh dibenarkan beroperasi semula selepas dibenarkan oleh JAIS," katanya.

Beliau juga meminta surau berkenaan mematuhi arahan malah masjid serta surau yang lain di Selangor terus meningkatkan disiplin serta kepatuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Jika semua jemaah surau dan masjid berdisiplin dan mengikut SOP, Insya-Allah ia akan membantu mengekang penularan Covid-19 dan tidak akan wujud kluster baru. Kita doakan tiada penularan di kalangan jemaah," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 September 2020 @ 11:19 PM