Aizat Sharif


Kangar: Kemeriahan dirasai semula di Perlis apabila restoran dan kedai makan di negeri itu dibenar menerima pelanggan untuk makan di premis selepas memasuki Fasa Ketiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang bermula hari ini.

Rata-rata penduduk ditemui mengucap syukur dengan perkembangan terbaharu itu, malah tinjauan di sekitar daerah ini mendapati kunjungan pelanggan ke restoran dan kedai makan untuk menjamu selera sangat menggalakkan, walaupun masih ada premis yang tidak bersedia.

Eksekutif pemasaran, Aiman Zainuddin, 27 berkata, dia dan rakannya mengetahui bahawa Perlis sudah membenarkan orang ramai makan di premis selepas meneliti prosedur operasi standard (SOP) Fasa Ketiga PPN, semalam.

"Kami pun cubalah bersarapan di kedai pagi ini. Alhamdulillah, dengan kebenaran ini ada juga alternatif lain untuk makan di luar kerana sudah agak bosan asyik makan di rumah sahaja," katanya ketika ditemui di sebuah restoran di Jalan Sekolah Derma di sini, hari ini.

Penduduk Kangar, Alif Azizan, 37, pula menyifatkan kebenaran untuk makan di premis sangat ditunggu dirinya dan dia percaya seluruh rakyat Perlis juga.

SEBAHAGIAN pelanggan mula makan di sebuah restoran di bandar Kangar selepas Perlis memasuki fasa ketiga perintah kawalan pergerakan dalam PPN hari ini. FOTO Luqman Hakim Zubir
SEBAHAGIAN pelanggan mula makan di sebuah restoran di bandar Kangar selepas Perlis memasuki fasa ketiga perintah kawalan pergerakan dalam PPN hari ini. FOTO Luqman Hakim Zubir

"Selepas urusan bank selesai tadi, saya dan ibu terus datang ke restoran ini untuk menjamu selera dan syukur semuanya selesa dan segala-galanya mengikut SOP yang ditetapkan," katanya.

Sementara itu, pengurus sebuah restoran, Abdul Asymawi Syazwi Abdul Halim, 26, berkata, pihaknya dan komuniti peniaga dan penjaja makanan sekitar Perlis amat bersyukur dengan peralihan ke Fasa Ketiga PPN yang membolehkan mereka berniaga seperti biasa.

"Kami lega keputusan kerajaan benarkan pelanggan makan dalam restoran pada fasa ini, namun kami tetap menjaga SOP mencegah Covid-19, antaranya, susunan kerusi meja dengan jarak satu meter selain pengimbas suhu dan kod QR untuk daftar MySejahtera dan buku log kemasukan," katanya.

Abdul Asymawi juga berkata, pihaknya juga akan menegur pelanggan yang cuba melanggar peraturan. "Walaupun sudah ditetapkan dua orang sahaja untuk satu meja tetapi ada juga pelanggan yang sengaja berkumpul empat orang semeja. Kita tidak benarkan.

"Sebab itu pekerja saya akan tegur dan minta mereka patuh SOP ditetapkan," katanya yang memberitahu sebelum ini premisnya hanya dibuka untuk jualan secara bungkus.

Isnin lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perlis, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan antara negeri yang beralih ke Fasa Ketiga PPN selepas memenuhi kriteria termasuk kes Covid-19 yang rendah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Ogos 2021 @ 2:40 PM