Azman Mohd Yusof
Azman Mohd Yusof
Aizat Sharif


Kangar: Perlis dijangka memasuki Fasa Ketiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam seminggu lagi berikutan kadar suntikan vaksin penduduk di negeri itu semakin meningkat.

Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis Azman Mohd Yusof berkata, sehingga kini, individu berusia 18 tahun ke atas yang sudah menerima vaksin di negeri ini adalah 37.7 peratus.

"Jumlah ini sangat menggalakkan yang mana kita sudah mencapai 40 peratus nilai ambang ditetapkan kerajaan untuk beralih ke Fasa Ketiga PPN, saya jangkakan seminggu sahaja lagi.

"Namun, ia bergantung kepada keputusan Kerajaan Persekutuan untuk membawa Perlis ke Fasa Ketiga atau tidak, dalam masa sama diharapkan masyarakat dapat kekal meneruskan pematuhan prosedur operasi standard (SOP)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (Movak) di Dewan Batas Lintang, Simpang Empat, di sini, hari ini.

Program berkenaan adalah inisiatif Kementerian Perpaduan Negara, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Kerajaan Negeri Perlis selain Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perlis.

Peralihan negeri ke setiap fasa dalam PPN ditentukan dalam tiga indikator nilai ambang seperti kes harian Covid-19 di bawah 4,000, peningkatan kapasiti Unit Rawatan Rapi (ICU) dan liputan vaksinasi dua dos merangkumi 10 peratus daripada populasi sesebuah negeri.

Mengulas mengenai Program Movak, Azman yang juga Pengerusi Pasukan Petugas Imunisasi Covid-19 (CITF) Perlis berkata, Movak ditumpukan di kawasan luar bandar yang akan berlangsung sehingga 1 September.

"Movak digerakkan dengan menggunakan bas sebagai tempat untuk pengambilan vaksin dan ia boleh memuatkan enam penerima vaksin dalam suatu masa.

"Penerima vaksin perlu datang di lokasi seperti di balai raya atau dewan orang ramai seperti yang ditetapkan dalam aplikasi MySejahtera sebelum menerima vaksin dalam bas Movak ini.

"Sasaran kita seramai 250 orang dapat diberikan vaksin setiap hari, jumlah ini akan dipertingkatkan ke 300 orang kelak sekiranya dapat mencapai sasaran diharapkan," katanya.

Program Movak ini mendapat kerjasama petugas sukarelawan daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Rukun Tetangga masyarakat.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Julai 2021 @ 4:27 PM