Seorang pengunjung merakam keindahan pemandangan ketika tinjauan hujung minggu di Tasik Timah Tasoh Perlis. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
Seorang pengunjung merakam keindahan pemandangan ketika tinjauan hujung minggu di Tasik Timah Tasoh Perlis. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Pembukaan semula sektor pelancongan di negeri dalam Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) akan menyemarakkan kembali sektor berkenaan.

Ketua Pegawai Operasi Yayasan Pelancongan Negara (YPN) Dr Fathir Badri Alhadad berkata, pembukaan secara terkawal itu dapat membantu menggerakkan ekonomi setempat yang mengalami kemerosotan sejak Mac 2020.

"Melalui kelonggaran yang diberikan kerajaan kepada negeri Fasa 2 dan individu menerima vaksinasi lengkap, pastinya menggalakkan rakyat supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta segera mendapatkan vaksinasi.

"Negeri seperti Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Sabah, Perlis, Sarawak dan Labuan pastinya akan mula membuka sektor ekonomi dengan segera.

"Hotel dan inap desa juga mula dibuka pada Selasa ini yang pastinya akan menyemarakkan kembali sektor pelancongan mereka," katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, Dr Fathir berkata, YPN tidak menolak kemungkinan kerajaan akan membuka pintu kepada pelancong mendapat vaksinasi lengkap untuk datang ke Malaysia selepas kelonggaran diberikan kepada warganegara dan bukan warganegara yang mempunyai kediaman di Malaysia (termasuk PR dan Malaysia MY Second Home).

Katanya, ini membuka peluang kepada sektor pelancongan terutama di Langkawi yang dipilih sebagai destinasi rintis 'Program Covid-19 Free Destination' jika inisiatif itu berjaya dilaksanakan kelak.

"Walaupun Langkawi masih dalam zon merah tetapi penerima suntikan vaksin satu dos mencecah 65,000 orang dan lebih 29,000 orang menerima dua dos suntikan.

"Kadar suntikan yang turut dipergiatkan hasil rundingan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) serta Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), kami yakin 80 peratus imuniti kelompok dapat dicapai selewatnya penghujung bulan ini," katanya.

Katanya, YPN memohon semua pegusaha sektor pelancongan untuk sentiasa cakna terhadap SOP supaya industri pelancongan dapat digerakkan semula dengan segera.

Seorang pengunjung bermain perahu layar ketika tinjauan hujung minggu di Tasik Timah Tasoh Perlis. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
Seorang pengunjung bermain perahu layar ketika tinjauan hujung minggu di Tasik Timah Tasoh Perlis. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Ogos 2021 @ 11:27 PM