POLIS menyerbu perumahan mewah di Jalan Stutong,Kuching yang menjalankan kegiatan bookie bola sepak dan judi online. FOTO Norsyazwani Nasri.
POLIS menyerbu perumahan mewah di Jalan Stutong,Kuching yang menjalankan kegiatan bookie bola sepak dan judi online. FOTO Norsyazwani Nasri.
Norsyazwani Nasri


Kuching: Lima lelaki dipercayai 'bookie' yang menganjurkan pertaruhan bola sepak Kejohanan Euro 2020 dan judi dalam talian ditahan di sebuah kawasan perumahan mewah di Jalan Stutong di sini, semalam.

Kesemua suspek yang berusia antara 17 hingga 25 itu ditahan dalam serbuan dilakukan Task Force Bersepadu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching dalam Op Dadu Khas jam 12.45 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, siasatan awal mendapati sindiket ini dipercayai membuat keuntungan kira-kira RM40,000 sebulan bagi kegiatan 'bookie'.

"Sindiket turut memperoleh RM60,000 sebulan bagi aktiviti judi dalam talian.

"Kami merampas pelbagai peralatan termasuk satu set komputer, Ipad, enam telefon bimbit dan pelbagai peranti lain," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953 yang membawa hukuman denda maksimum sehingga RM 200,000 dan dikenakan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun.

"Kes juga disiasat mengikut Seksyen

4(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan hukuman denda RM5,000 hingga RM50,000 dan hukuman penjara tiga tahun jika sabit kesalahan," katanya.

Katanya, selain pendakwaan di mahkamah, pihak polis juga akan memotong bekalan elektrik di setiap premis yang diserbu, di samping tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Julai 2021 @ 11:08 AM