AIDI Ismail mengadakan sidang media berhubung kes serbuan pusat judi dalam talian di sebuah apartmen di Jalan Datuk Tawi Seli Kuching. FOTO Nadim Bokhari
AIDI Ismail mengadakan sidang media berhubung kes serbuan pusat judi dalam talian di sebuah apartmen di Jalan Datuk Tawi Seli Kuching. FOTO Nadim Bokhari
Mohd Roji Kawi

Kuching: Polis menahan 114 individu dalam 19 serbuan bagi membanteras aktiviti perjudian dalam talian di Kuching sejak Jun lalu.

Daripada jumlah itu, seramai 81 individu yang ditahan adalah lelaki manakala 33 lagi wanita dengan lima daripadanya adalah penganjur perjudian.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata, sebanyak 15 kes sudah dikenakan tindakan mahkamah, manakala empat kes lagi masih dalam siasatan.

Menurutnya, terbaru polis menyerbu dua rumah yang dijadikan sebagai pusat panggilan judi dalam talian di Jalan Datuk Tawi Sli, di sini, semalam.

Katanya, serbuan dilakukan sepasukan 19 anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching, Balai Polis Sungai Maong dan Balai Polis Satok bermula 2 petang hasil maklumat risikan.

"Seramai 24 warga asing dengan 17 daripadanya lelaki dan tujuh wanita berusia 20 hingga 47 tahun berjaya ditahan dalam serbuan itu.

"Mereka yang ditahan adalah operator judi dalam talian yang bekerja dengan sindiket sejak dua bulan lalu dan menerima bayaran RM1,500 sebulan.

"Kesemua suspek dikenal pasti mengendalikan pusat panggilan itu dan membuat panggilan kepada orang ramai selain menggunakan media sosial untuk mempromosikan judi dalam talian," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di IPD Kuching, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah

Menurutnya, polis turut merampas 14 unit monitor, 14 unit pemprosesan (CPU), 17 telefon bimbit, router, modem serta peralatan lain yang digunakan untuk aktiviti judi dalam talian.

"Siasatan awal mendapati pusat panggilan itu beroperasi 24 jam sejak dua bulan lalu dengan meraih keuntungan sebanyak RM2,500 sehari.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 51(5)(B) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 September 2021 @ 5:48 PM