Datuk Azhar Azizan Harun. FOTO Bernama
Datuk Azhar Azizan Harun. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun membuat keputusan untuk mengecualikan diri beliau daripada membuat sebarang keputusan berkaitan usul oleh Ahli Parlimen Ipoh Barat M. Kula Segaran.

Azhar berkata, pihaknya sudah menerima usul oleh Kula Segaran pada 29 Julai lalu.

"Usul itu mempunyai hal-hal yang bersangkutan dan mengenai Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun, sebagaimana yang diketahui umum adalah abang kandung saya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Azhar berkata sebarang keputusan mengenai usul berkenaan diserahkan kepada dua Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat iaitu Datuk Mohd Rashid Hasnon dan Datuk Seri Azalina Othman Said.

"Saya tidak akan campur tangan dalam apa cara sekalipun di dalam pelaksanaan tugas timbalan-timbalan Yang Dipertua di dalam hal berkaitan," katanya.

Kula Segaran dalam surat kepada Setiausaha Dewan Rakyat bertarikh 29 Julai, mencadangkan usul supaya tindakan sewajarnya diambil terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara kerana telah mengelirukan Dewan Rakyat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Julai 2021 @ 1:16 PM