Maiamalina Mohamed Amin dan Amir Abd Hamid


DATUK Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, hari ini.

Azalina menjadi pemimpin wanita pertama dimahsyur jawatan itu.

Ahli Parlimen Pengerang itu dilantik selepas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengusulkannya, mengikut Peraturan Mesyuarat 6 (2) yang dibaca bersama Peraturan 4 (1) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

"Saya mohon mencadangkan bahawa Yang Berhormat Datuk Seri Azalina Othman Said, Ahli Parlimen Pengerang dipilih menjadi Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan mengikut Peraturan Mesyuarat 6 (2) yang dibaca bersama Peraturan 4 (1) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, saya telah memastikan bahawa beliau bersetuju untuk berkhidmat jika dipilih," kata Muhyiddin.

Usul itu kemudian disokong Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Bersatu-Gombak).

Azalina berusia 57 tahun menggantikan Nga Kor Ming (PH-Teluk Intan) yang meletak jawatan dengan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun mengesahkan menerima surat peletakan itu.

AZALINA Othman Said. FOTO arkib NSTP
AZALINA Othman Said. FOTO arkib NSTP

Susulan peletakan berkenaan, usul keempat yang memohon ketetapan supaya kerusi itu dikosongkan Nga, ditarik balik.

Azhar yang tidak menerima calon lain bagi jawatan Timbalan Yang Dipertua daripada Ahli Parlimen pembangkang akhirnya memahsyurkan Azalina.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Julai 2020 @ 3:35 PM