ANTARA individu yang ditahan selepas dipercayai terbabit dengan kegiatan judi dalam talian di sebuah kondominium di Jalan Stonor, Kuala Lumpur, dalam serbuan, semalam.
ANTARA individu yang ditahan selepas dipercayai terbabit dengan kegiatan judi dalam talian di sebuah kondominium di Jalan Stonor, Kuala Lumpur, dalam serbuan, semalam.
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Satu sindiket judi dalam talian menjadikan sebuah kondominium mewah di Jalan Stonor di sini, sebagai markas kegiatan itu dengan menyewa tiga unit kediaman di bangunan berkenaan untuk beroperasi.

Bagaimanapun, kegiatan itu terbongkar selepas pihak polis melakukan serbuan di tiga unit kediaman di kondominium berkenaan yang membawa kepada penahanan 28 individu termasuk empat warga China pada 4 petang semalam.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, pihaknya menahan sembilan lelaki tempatan dan seorang wanita warga China berusia antara 17 hingga 45 tahun dalam serbuan pertama di sebuah kediaman di tingkat 28 bangunan berkenaan.

"Dalam serbuan itu, kami merampas tujuh komputer dan Unit Pemprosesan Pusat (CPU), 20 telefon bimbit serta satu jaringan tanpa wayar (WiFi) yang dipercayai digunakan untuk kegiatan judi dalam talian.

"Serbuan kedua yang dilakukan di sebuah unit kediaman di tingkat 12 bangunan itu pula, enam individu termasuk lima wanita serta seorang wanita warga China berusia antara 18 hingga 45 tahun.

"Kami merampas enam komputer riba, 15 telefon bimbit dan satu kad akses dalam serbuan itu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nasri berkata, pihaknya menahan 11 lagi individu termasuk dua warga China berusia antara 20 hingga 53 tahun dalam serbuan ketiga di sebuah unit kediaman di tingkat 13A bangunan berkenaan dengan merampas lapan komputer dan CPU, sebuah komputer riba serta satu modem.

"Siasatan awal mendapati sindiket berkenaan dipercayai beroperasi kira-kira dua minggu lalu dengan menyewa rumah RM10,000 setiap bulan.

"Siasatan juga akan menjurus kepada kesalahan penipuan 'money game' selain kesalahan jenayah perjudian," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 4(1)(c) akta sama dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Julai 2021 @ 1:32 PM