GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Polis menahan 10 individu termasuk tiga lelaki warga China yang dipercayai terbabit dengan kegiatan judi, pelaburan tidak wujud serta penipuan pembelian dalam talian menerusi serbuan di dua unit kediaman di Jalan Tembaga Off Jalan Pahang, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pihaknya menahan enam wanita serta seorang lelaki warga tempatan dan tiga lelaki warga China dalam serbuan itu.

"Kami turut merampas pelbagai peralatan termasuk dua monitor komputer, satu pemprosesan komputer (CPU), 32 telefon bimbit, lima kad ATM, lima komputer riba, modem dan peralatan lain yang dipercayai digunakan untuk kegiatan itu.

"Siasatan awal mendapati semua suspek bekerja sebagai operator untuk mencari pelanggan, membuat panggilan dan mempromosikan kegiatan judi talian melalui media sosial.

"Kediaman itu dipercayai disewa sindiket terbabit dengan harga RM3,500 sehingga RM5,000 sejak mula beroperasi pada Oktober 2020," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, siasatan berhubung kes itu dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(1)(C) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

"Polis akan terus berusaha dan melaksanakan tindakan berterusan bagi membanteras serta menghapuskan kegiatan pengoperasian penipuan dalam talian (calling centre) ini.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau maklumat boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju di talian 03-92899222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21460584/ 585 atau mana-mana balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Oktober 2021 @ 4:08 PM