ANTARA individu yang ditahan selepas dipercayai terbabit dengan kegiatan judi dalam talian dalam serbuan di sebuah unit kondominium di Bandar Mahkota Cheras, Kajang, hari ini. FOTO ihsan polis
ANTARA individu yang ditahan selepas dipercayai terbabit dengan kegiatan judi dalam talian dalam serbuan di sebuah unit kondominium di Bandar Mahkota Cheras, Kajang, hari ini. FOTO ihsan polis
Nurul Hidayah Bahaudin


SERAMAI 30 individu warga China ditahan selepas dipercayai terbabit dengan kegiatan judi dalam talian di sebuah unit kondominium di Bandar Mahkota Cheras, Kajang, hari ini.

Pegawai Turus Bahagian Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor Deputi Superintendan Azmi Shukor berkata, pihaknya menahan 24 lelaki dan enam wanita berusia antara 20 hingga 35 tahun dalam serbuan jam 2.30 petang tadi.

"Sindiket ini menjalankan aktiviti promosi judi dalam talian yang berpusat di Malaysia dengan menggunakan lawan sesawang www.npro11.com dan mensasarkan mangsa dari China.

"Antara perjudian ditawarkan termasuk saham menggunakan mata wang asing dan segala pesanan ringkas untuk kumpulan ini berhubung menggunakan aplikasi Wechat yang dihantar menggunakan talian telefon ke negara China," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azmi berkata, sindiket itu menyewa dua unit kediaman di kondominium berkenaan sejak bulan lalu dengan pekerja terbabit berperanan mengawal komputer utama selain beroperasi setiap hari bagi mencari pelanggan.

"Hasil siasatan mendapati semua suspek diberikan gaji sebanyak RM3,000 setiap bulan. Semakan mendapati mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan selain menyalahgunakan pas lawatan sosial.

"Semua suspek didapati baru saja diberikan pendedahan cara menganjurkan aktiviti judi dalam talian," katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas sebanyak 30 komputer riba serta 76 telefon bimbit dalam serbuan itu.

"Semua suspek yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 4 (1) (c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 April 2020 @ 8:34 PM