GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Alor Setar: Sebanyak 80 peratus penduduk Langkawi perlu mendapat suntikan vaksin Covid-19 bagi membolehkan gelembung perjalanan dilaksanakan di pulau itu apabila rentas negeri dibenarkan dan sempadan negara kembali dibuka.

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata, untuk mencapai peratusan itu, kerajaan negeri bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) bagi memastikan kira-kira 61,000 penduduk Langkawi menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin.

"Kita sudah selaraskan di peringkat Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah yang dikendalikan oleh pegawai daerah untuk sediakan pusat pemberian vaksin (PPV) bagi mempercepatkan pemvaksinan kepada penduduk pulau itu.

"Selepas proses vaksinasi di Langkawi selesai, barulah rakyat yang sudah lengkap dua dos suntikan vaksin boleh memulakan percutian ke Langkawi, Insya-Allah bermula September ini," katanya ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri melalui aplikasi Zoom di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, syarikat penerbangan Qatar Airways juga sudah menyatakan kesediaan untuk bersama melaksanakan gelembung perjalanan di Langkawi, dengan menyediakan tujuh penerbangan seminggu dari 121 destinasi antarabangsa ke pulau lagenda itu.

"Semalam pihak mereka (Qatar Airways) sudah berjumpa dengan Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) untuk menyatakan komitmen mereka itu dan kita harap dapat bersedia untuk melaksanakan gelembung perjalanan ini selepas program vaksinasi di Langkawi selesai," katanya.

Muhammad Sanusi berkata, pembangunan semula sektor pelancongan di Langkawi perlu diberi perhatian memandangkan saingannya iaitu Krabi dan Phuket di Thailand juga dijangka dibuka tidak lama lagi.

"Kita kena pastikan Langkawi juga akan menjadi destinasi pilihan pelancong domestik atau antarabangsa sebaik sahaja perjalanan rentas daerah dan negeri dibenarkan," katanya.

Sementara itu, Muhammad Sanusi memberitahu semua PPV di Kedah mempunyai keupayaan untuk melakukan 80,000 suntikan vaksin seminggu.

"Tapi setakat ini Kedah menerima kira-kira 29,000 (dos) bekalan vaksin seminggu daripada Mosti dan kita dijanjikan untuk mendapat 52,000 (dos) bekalan vaksin dalam sebulan. Saya yakin pihak menteri di Mosti sedang bertungkus-lumus untuk pastikan bekalan vaksin sampai dalam masa ditetapkan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Jun 2021 @ 5:30 PM