WESTLIFE popular menerusi lagu Uptown Girl.
WESTLIFE popular menerusi lagu Uptown Girl.
Ramlah Zainal


Susulan kejayaan Konsert The Wild Dreams Tour Live In Kuala Lumpur awal tahun lalu, kumpulan popular dari Ireland, Westlife kembali beraksi di Malaysia menerusi Konsert Westlife The Hits Tour 2024.

Konsert itu dijadualkan berlangsung di Arena of Stars, Resorts World Genting, Genting Highlands pada Jun ini.

Konsert berkenaan bakal mengubat kerinduan peminat setia kumpulan ini.

Tiket konsert Westlife The Hits Tour 2024 sudah mula dijual kepada orang ramai sejak 26 April lalu melalui MMIC Entertainment Group atau laman web penganjur.

Apa yang menarik, selepas 24 tahun, Westlife kembali mengadakan konsert di lokasi Arena Of Stars, Genting Highlands pada tahun ini.

Konsert jelajah kali ini hanya membabitkan tiga anggota kumpulan itu iaitu Kian Egan, Nicky Byrne dan Shane Filan.

Manakala, seorang lagi anggota kumpulan ini iaitu Mark Feehily tidak dapat turut serta kerana masalah kesihatan menurut kenyataan penganjur.

Pada konsert itu nanti, Westlife akan menghiburkan peminat dengan rangkaian lagu hitsnya yang masih diminati sehingga kini seperti Uptown Girl, If I Let You Go, Swear It Again, My Love dan banyak lagi.

Mengimbas latarnya, tidak dapat dinafikan kumpulan yang dianggotai empat lelaki kacak ini memiliki pengaruh besar serta masih menjadi kegilaan ramai sehingga kini.

Kumpulan Westlife yang ditubuhkan pada 1998 itu juga menempa nama sebagai kumpulan lelaki yang menjadi perhatian peminat di seluruh dunia dengan rangkaian lagu-lagu popular dan persembahan memukau di pentas.

Antara pencapaian kumpulan itu ialah berjaya menjual lebih 55 juta unit album, memperoleh 36 album nombor satu, mengumpul lebih tiga bilion aliran global, melepasi satu bilion tontonan YouTube dan menjual lebih 5.5 juta tiket konsert di seluruh dunia.

Tidak ketinggalan, Westlife turut menerima pelbagai anugerah termasuk World Music Award, Brit Awards, MTV Awards dan empat kali mengungguli trofi Record of the Year Awards pada 1999, 2000, 2003 dan 2005.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mei 2024 @ 6:22 AM