Zuhainy Zulkiffli


Balik Pulau: Polis menumpaskan kegiatan pengedaran dadah di negeri ini hasil dua serbuan pada 24 September lalu dan merampas dadah jenis heroin bernilai RM61,573.

Serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang itu turut menahan seorang lelaki 36 tahun, disyaki dalang kegiatan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, serbuan pertama pada 4 petang di tepi Jalan Tun Hussein Onn, Seberang Perai menemukan dua bungkusan heroin seberat 907.3 gram dalam simpanan suspek.

Katanya, penahanan lelaki itu membawa kepada serbuan kedua di kawasan parkir sebuah kondominium di Golden Triangle, Bayan Lepas pada 8 malam dan menemui lapan lagi bungkusan heroin seberat 3.687 kilogram tersimpan dalam kereta.

"Siasatan dilakukan mendapati suspek aktif sejak lima bulan lalu dan semua dadah dirampas untuk pasaran tempatan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya di sini, hari ini.

Kamarul Rizal berkata, ujian saringan air kencing suspek mendapati dia positif methampethamine dan suspek turut mempunyai empat rekod jenayah kesalahan iaitu tiga berkait dadah serta satu jenayah.

"Suspek direman selama tujuh hari sehingga 1 Oktober ini bagi membantu siasatan dan usaha memburu saki baki individu bersubahat dengan suspek sedang dilakukan," katanya yang memberitahu jumlah dadah dirampas boleh digunakan untuk 22,975 penagih.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup jika disabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 September 2021 @ 5:39 PM
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal (tengah) menunjukkan dadah jenis heroin anggaran berat 4.595 kilogram bernilai RM61,573  ketika sidang media di Ibu Pejabat Daerah Barat Daya di sini. FOTO MIKAIL ONG
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal (tengah) menunjukkan dadah jenis heroin anggaran berat 4.595 kilogram bernilai RM61,573 ketika sidang media di Ibu Pejabat Daerah Barat Daya di sini. FOTO MIKAIL ONG